Dr Husaini Omar
Dr Husaini Omar
Amir Mamat


Melaka: Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Husaini Omar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baharu berkuat kuasa semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, UTeM memaklumkan beliau menggantikan Datuk Seri Dr Hasim Hasan untuk tempoh tiga tahun dipersetujui Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Husaini, 60, lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Geologi) dari Universiti Malaya (UM) memperoleh Ijazah Sarjana Kejuruteraan Geologi dari University of Leeds, United Kingdom dan memperoleh Doktor Falsafah Kejuruteraan (Kejuruteraan Sistem) dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau mempunyai pengalaman industri selama lapan tahun sebagai Jurutera Geologi sebelum memulakan karier sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan UPM pada 1996.

Husaini kemudian dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM pada 15 Februari 2017 sebelum menjawat jawatan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 1 Januari 2018 sehingga 6 Januari 2019.

Selain itu, Husaini pernah menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dari 1 Jun 2020 sehingga 31 Januari 2021 sebelum menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bermula 1 Februari 2021 sehingga 9 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 12:54 PM