FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menegaskan bahawa Dasar Inklusif Orang Kurang Upaya (OKU) di Institut Pengajian Tinggi (IPT) masih lagi diamalkan dan tiada sebarang sekatan terhadap golongan itu seperti yang didakwa beberapa pihak.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi KPT Prof Datuk Dr Husaini Omar berkata, kementerian juga memperluaskan peluang pendidikan dengan mewujudkan laluan khas kepada golongan B40, OKU, Orang Asli dan atlet untuk melanjutkan pengajian ke IPTA dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) di peringkat sijil, diploma, asasi dan ijazah sarjana muda.

"Golongan ini hanya perlu melepasi syarat am dan syarat khas program seperti ditetapkan oleh universiti yang dipilih," katanya dalam kenyataan hari ini, bagi menjawab dakwaan bahawa seorang calon OKU dinafikan peluang untuk mengambil kursus yang dipohon melalui saluran UPUOnline.

Husaini berkata, semakan Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) mendapati pemohon itu adalah calon daripada Kategori B iaitu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 dan memohon untuk ke Program ASASIpintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sesi akademik 2021/2022.

"Calon berkenaan tidak melepasi syarat kelayakan minimum kemasukan program itu.

"Syarat minimum kemasukan ke program ASASIpintar UKM memerlukan calon mendapat 7A- dalam subjek tertentu termasuklah Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.

"Bagaimanapun, calon ini masih lagi dibenarkan membuat kemas kini yang masih dibuka sehingga 2 Julai 2021," katanya yang turut memaklumkan bahawa calon berkenaan sebelum ini menolak tawaran program Diploma Teknologi Makmal Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi sesi akademik 2020/2021.

Husaini berkata, usaha meningkatkan akses pendidikan bagi B40, OKU, Orang Asli dan atlet adalah untuk memastikan ekuiti di peringkat pengajian tinggi dengan memberi peluang kepada setiap pelajar mencapai potensi diri sepenuhnya.

Beliau berkata, peluang itu tanpa mengira lokasi, bangsa, jantina atau latar belakang sosioekonomi seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia - Pendidikan Tinggi.

Menurutnya, semua data berkaitan laluan khas untuk golongan berkenaan adalah dengan kerjasama strategik pelbagai pihak bagi perkongsian data iaitu dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk data OKU dan Jabatan Pendaftaran Negara untuk Orang Asli.

Selain itu, katanya, Bahagian Sukan Kokurikulum Dan Kesenian, KPT untuk data atlet sukan dan seterusnya data e-KASIH dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri untuk data B40.

Beliau berkata, KPT melalui Bahagian Kemasukan Pelajar (BKPA) menyokong sepenuhnya Teras Strategik 3 (Meningkatkan akses OKU kepada Pendidikan) yang digariskan dalam Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya (PTOKU) 2016-2022.

"Pemohon OKU yang berdaftar dengan JKM yang mengemukakan permohonan melalui UPUOnline akan dipertimbangkan bagi kemasukan tanpa merit tertakluk memenuhi syarat am dan minimum syarat khas yang ditetapkan mengikut program pengajian yang dipohon," katanya.

Husaini berkata, penawaran program kepada golongan OKU ini adalah melalui persetujuan bersama agensi atau institusi dengan mengambil kira kesediaan prasarana mesra OKU institusi itu sendiri.

Katanya, ia bagi memastikan golongan OKU dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan selesa dan penawaran program pengajian juga perlu mengambil kira pencapaian akademik pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 4:27 PM