GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Norsyazwani Nasri


KERAJAAN Sarawak yang mensasarkan menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030, kini menumpukan kepada program mengubah pembangunan luar bandar.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud berkata, inisiatif kerajaan untuk mengubah kawasan luar bandar sedang dilakukan melalui pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, air, bekalan, elektrik, kemudahan kesihatan dan pendidikan.

"Kemudahan asas ini amat didambakan untuk menarik aktiviti ekonomi seperti industri asas tani, perladangan komersial dan pelancongan.

"Hampir 44 peratus penduduk di Sarawak masih tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman yang mana sangat memerlukan infrastruktur asas untuk memudahkan akses kepada perkhidmatan pendidikan dan kesihatan," katanya dalam perutusan sempena sambutan Gawai Dayak hari ini.

Katanya, transformasi luar bandar memerlukan pembabitan sektor swasta yang menjadi pendorong kepada kerajaan untuk melaksanakan inisiatif merangsang sektor swasta melabur di kawasan luar bandar yang tentunya dapat membangun potensi ekonomi seperti di Tanjung Manis, Bakun, Murum,Tunoh, Baram, Sematan dan Merapok.

"Langkah ini akan memberi kesan positif kepada masyarakat setempat dari segi perniagaan dan peluang pekerjaan.

"Saya percaya transformasi luar bandar akan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar," katanya.

Mengenai sambutan Gawai, beliau meminta rakyat terus akur untuk duduk di rumah serta mematuhi langkah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di musim perayaan ini.

"Penularan pandemik Covid-19 yang belum reda memaksa perayaan Gawai Dayak disambut dalam normal baharu.

"Pastikan sentiasa mengguna pelitup muka, sarung tangan dan mengamalkan penjarakan sosial satu meter, kita mesti mengelak tempat sesak dan kawasan yang sibuk dengan pelbagai aktiviti," katanya.

Beliau percaya cara baharu meraikan Gawai Dayak masih boleh menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat bahawa masa hadapan terikat bersama tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama dalam membawa negeri Sarawak ke arah kemajuan dan kemakmuran yang lebih adil dan saksama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 11:13 AM