Muhamad Lokman Khairi

Lumut: Keunikan Masjid Al-Khairiah yang terletak di Pulau Pangkor pastinya memukau mata pelancong yang pertama kali melihatnya.

Apakan tidak, ia berkonsepkan reka bentuk seni bina masyarakat Tionghua membabitkan antaranya binaan atap, pintu gerbang serta pagar.

Pada masa sama, dindingnya pula dipenuhi dengan kaligrafi Arab.

Kedudukannya di Kampung Sungai Pinang Kecil yang dikelilingi oleh majoriti masyarakat Tionghua juga menambah unik rumah ibadat berkenaan.

MASJID Al-Khairiah yang terletak di Pulau Pangkor. FOTO Muhamad Lokman Khairi
MASJID Al-Khairiah yang terletak di Pulau Pangkor. FOTO Muhamad Lokman Khairi

Menyingkap sejarah pembinaan Masjid Al-Khairiah, pengerusinya, Omar Ahmad, 72, berkata, idea asalnya diilhamkan oleh bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang berhasrat membina sebuah masjid di tapak asal dengan konsep kaligrafi doa pada 2017.

"Pada asalnya, tapak ini memang sudah didirikan masjid lama dengan struktur kayu pada 1926 oleh masyarakat setempat ketika itu yang terdiri daripada masyarakat Cina Muslim, India Muslim dan orang Melayu. Pada 1946, masjid ini dibina semula dengan struktur dinding bata.

"Oleh sebab kawasan ini di kelilingi masyarakat Tionghua, tercetus idea reka bentuk dan hiasan dalamannya menjurus kepada motif oriental," katanya.

Masjid Al-Khairiah berada di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak dan Manjung serta Pejabat Daerah Manjung.

Manakala kaligrafi pada masjid ini sudah mendapat pengesahan Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti Negeri Perak.

Peruntukannya pula disalurkan daripada Kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak dan Pejabat Menteri Besar Perak.

KEUNIKAN hiasan dalaman Masjid Al-Khairiah. FOTO Muhamad Lokman Khairi
KEUNIKAN hiasan dalaman Masjid Al-Khairiah. FOTO Muhamad Lokman Khairi

Keseluruhan pembinaan masjid ini diuruskan oleh Yayasan Restu yang diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk memilih konsep ayat, motif, warna dan susun atur reka bentuk hiasan dalaman Masjid Al-Khairiah.

Segala proses penghasilannya seperti penyelidikan dan pembangunan, penghasilan reka motif, pewarnaan, penulisan kaligrafi, susun atur hiasan dalaman, penghasilan serta pemasangan jubin dijalankan di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Shah Alam, Selangor.

Keunikan masjid ini juga diserlahkan lagi dengan seni khat Nasakh, Thuluth, Kufi Fatimi dan Kufi Mushafi.

Keseluruhan kaligrafi di masjid ini berkisar himpunan doa yang diperoleh daripada ayat al-Quran, hadis Nabi Muhammad SAW dan juga doa yang dikumpulkan daripada ulama muktabar.

Jika diperhatikan di tiang masjid berkenaan, terdapat Asma' al-Husna ditulis dalam bentuk kaligrafi Cina.

Menurut Omar, hasil kaligrafi di masjid ini adalah sentuhan seni hasil tangan khatat (penulis kaligrafi) Yayasan Restu yang juga anak Melayu tempatan.

Dekorasi keseluruhan masjid ini mengaplikasi pelbagai pola motif tumbuhan dan geometri yang terdapat di Perak.

REKA bentuk di Masjid Al-Khairiah menggunakan pola yang menggabungkan unsur ketimuran dari China dan identiti Perak dalam satu bentuk hiasan. FOTO Muhamad Lokman Khairi
REKA bentuk di Masjid Al-Khairiah menggunakan pola yang menggabungkan unsur ketimuran dari China dan identiti Perak dalam satu bentuk hiasan. FOTO Muhamad Lokman Khairi

Kata Omar, kebanyakan reka bentuk di Masjid Al-Khairiah ini menggunakan pola yang menggabungkan unsur ketimuran dari China dan identiti Perak dalam satu bentuk hiasan.

Pola ini lebih menekankan unsur bunga-bungaan dan geometri oriental.

Motif-motif ini juga diambil daripada Masjid Niu Jie, bunga-bungaan yang terkenal di China seperti Chinese Peony, Apple Blossom dan Plum Blossoms serta beberapa barangan lain seperti perhiasan seramik, kraftangan dan tekstil.

Menurut Omar, pelawat dialu-alukan untuk memasuki ruangan dalam masjid bagi melihat sendiri keindahan gabungan motif oriental serta kaligrafi doa dengan lebih dekat lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 7:01 AM