TANGKAP layar video tular
TANGKAP layar video tular
Nurul Hidayah Bahaudin


Bangi: Seorang penganggur menggunakan helah menyamar sebagai wanita dengan memakai telekung sebelum 'memancing' wang di dalam tabung di sebuah masjid di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi, di sini.

Bagaimanapun, lelaki itu kempunan untuk mencuri wang berkenaan apabila dia gagal melarikan duit tabung masjid terbabit dalam kejadian pada 18 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang lelaki yang memaklumkan ada individu cuba 'memancing' duit tabung yang diletakkan di luar perkarangan masjid terbabit jam 3.34 petang pada 19 Mei lalu.

Katanya, kejadian itu yang berlaku kira-kira jam 3 pagi pada 18 Mei lalu disedari oleh pengadu selepas menerima panggilan daripada salah seorang pengawal keselamatan bertugas.

"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dilakukan mendapati suspek adalah seorang lelaki yang memakai telekung berwarna biru, seluar hitam dan pelitup muka.

"Suspek dilihat cuba 'memancing' duit dari tabung yang berada di bahagian koridor luar tepi masjid berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak sempat mencuri duit tabung dan usaha mengejarnya oleh pengawal keselamatan gagal apabila lelaki itu berjaya melarikan diri.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Bandar Baru Bangi menahan lelaki berusia 23 tahun yang tidak bekerja di Flat Kajang Mewah jam 12.30 tengah malam tadi.

"Dengan dipandu arah oleh suspek sendiri, kami merampas sehelai baju T lengan panjang, telekung berwarna biru dan sebuah motosikal Yamaha LC 135 yang digunakan ketika kejadian," katanya.

Beliau berkata, pihak polis percaya penahanan suspek dapat menyelesaikan beberapa kes kecurian duit dan telefon bimbit di dalam masjid dan surau di sekitar Bandar Baru Bangi.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Muhammad Fadeli Safii di talian 012-5373134 bagi membantu siasatan.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi melaporkan aktiviti jenayah di daerah ini untuk tindakan lanjut," katanya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 12 saat menunjukkan seorang lelaki memakai telekung yang gagal 'memancing' wang di dalam tabung di masjid berkenaan sebelum melarikan diri tular di media sosial, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 6:10 PM