Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid
Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Perak ditegur Speaker, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid supaya mematuhi etika berpakaian sepanjang persidangan Dun berlangsung terutama mengenai pemakaian tali leher dalam kalangan Adun lelaki.

Mohammad Zahir berkata, ia berdasarkan kepada keputusan yang ditetapkan Dun itu tahun lalu bahawa semua Adun dan pegawai kerajaan yang hadir ketika persidangan mesti memakai tali leher selain merujuk kepada Perkara 14(2) Perintah Tetap Dun Perak berkaitan pemakaian.

"Dalam dewan ini, saya ingat lagi tahun lepas sewaktu kita membuat persidangan yang pertama, sut urusan yang saya sudah tetapkan ialah mestilah bertali leher.

"Oleh itu, saya minta pegawai-pegawai terutamanya ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak memakai tali leher agar mematuhi aturan mesyuarat dan urusan dewan.

"Jika rumah (dewan) lain, Dewan Rakyat misalnya mungkin putuskan kaedah lain tetapi di dewan ini Speaker putuskan mesti pakai tali leher," katanya pada persidangan Dun Perak di sini hari ini.

Pada Disember tahun lalu, media melaporkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul memutuskan bahawa Ahli Parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat dikecualikan daripada memakai tali leher bagi yang hendak berpakaian sut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 2:01 PM