Anwar Ibrahim pada sesi pembentangan bajet mini pada hari kedua sidang Dewan Rakyat hari ini. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia
Anwar Ibrahim pada sesi pembentangan bajet mini pada hari kedua sidang Dewan Rakyat hari ini. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia
Mahaizura Abd Malik dan Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Persidangan Dewan Rakyat hari ini melakar sejarah tersendiri apabila kebanyakan Ahli Parlimen memakai sut tanpa mengenakan tali leher.

Pemerhatian Harian Metro mendapati, hampir keseluruhan Ahli Parlimen blok kerajaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih menggayakan sut tanpa padanan aksesori itu, manakala segelintir lain masih memakai kod pemakaian formaliti.

Bagi Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How berkata, pemakaian sut tanpa tali leher itu dilihat lebih santai dan mendekatkan wakil rakyat dengan masyarakat.

Katanya, beliau menyambut baik perubahan itu kerana ada masanya pemakaian tali leher merimaskan.

"Biasanya memang dalam peraturan mesyuarat secara jelas perlu memakai tali leher tetapi dalam masa sama, Speaker Dewan Rakyat boleh menggantung mana-mana peraturan mesyuarat.

"Jadi, jika Speaker sudah benarkan tidak perlu pakai tali leher, kita sambut baiklah kerana ia membawa lembaran baharu dari segi penampilan Ahli Parlimen yang lebih 'dirakyatkan'.

"Pemakaian kadangkala melambangkan darjat dan mengurangkan sedikit formaliti sekali gus mengurangkan jurang dengan rakyat," katanya ketika ditemui di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Kod pemakaian tanpa tali leher itu diputuskan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul selepas mendapat permintaan dan cadangan daripada wakil rakyat.

Perkara itu dimaklumkan Johari sebelum beliau menangguhkan sesi persidangan, semalam yang mengecualikan daripada pemakaian tali leher bagi mereka yang memilih memakai sut.

Dengan pengecualian itu, Ahli Parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat hari ini boleh memakai baju Melayu lengkap atau sut tanpa tali leher.

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian, Ahli Parlimen blok pembangkang lebih memilih memakai sut dengan padanan lengkap bersama tali leher.

Berdasarkan Garis Panduan Kod Etika Berpakaian Parlimen Malaysia yang dipaparkan dalam laman sesawang, individu lelaki yang memasuki Parlimen harus mengenakan kot, berseluar panjang disesuaikan dengan kemeja lengan panjang serta bertali leher.

Pilihan warna bagi seluar dan kot harusnya sepadan dan digalakkan berwarna hitam atau gelap.

Bagi wanita pula, harus mengenakan kot, kemeja, berseluar panjang atau skirt labuh dengan pilihan warna hitam atau gelap.

Manakala bagi setiap hari Khamis, mereka yang memasuki Parlimen dibenarkan memakai baju batik.

Kelainan yang ditonjolkan Perdana Menteri ke-10 itu sejak hari pertama memulakan tugasnya sebagai pemimpin nombor satu negara menjadi bualan rakyat dan mendapat pelbagai reaksi.

Malah, Mesyuarat Kabinet Kerajaan Perpaduan yang berlangsung 7 Disember lalu juga mencuri tumpuan ramai apabila jemaah menteri tampil berbeza dengan hanya memakai sut, namun tidak mengenakan tali leher.

Untuk rekod, Persidangan Dewan Rakyat kali ini adalah yang pertama di bawah pembentukan Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar selepas mengangkat sumpah pada 24 November lalu.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 berlangsung selama dua hari yang bermula semalam dan berakhir hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 11:42 AM