Aizat Sharif

Arau: Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC) Malaysia berharap masyarakat dapat memanfaatkan 35 Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald (RMSR) di seluruh negara untuk keperluan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) terutama yang mengalami masalah pembelajaran atau autisme.

Presiden RMHC Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, setakat ini 12 negeri sudah dijelajahi dalam menubuhkan RMSR dan Perlis adalah negeri terakhir.

"Fokus utama RMHC adalah untuk memastikan bilik terapi sensori yang dapat digunakan sepenuhnya selain membaik pulih kemudahan bilik terapi berkenaan yang sedia ada.

"Selain itu juga, kita turut melatih ahli terapi sedia ada supaya mereka berkelayakan untuk mendidik kanak-kanak yang mengalami autisme supaya dapat memanfaatkan bilik terapi berkenaan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Bilik Sensori Ronald McDonald (RMSR) dan Penyampaian Zakat Korporat McDonald's Untuk Negeri Perlis di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia berkata, pihaknya akan berusaha untuk membuka lebih banyak lagi bilik seumpama ini bagi membolehkan kanak-kanak yang mempunyai kelainan upaya seperti ini dapat dilatih menerusi terapi deria mereka.

"RMSR ini adalah salah satu program kita yang menyediakan bilik terapi deria dengan peralatan multi sensori serba lengkap untuk merangsang deria asas seperti penglihatan, pendengaran, sentuhan dan menghidu bagi meningkatkan perkembangan kognitif dan keyakinan kanak-kanak berkeperluan khas serta yang mempunyai masalah pembelajaran.

TUANKU Syed Faizuddin (dua kiri) bersama Tuanku Lailatul Shahreen (tiga kiri) merasmikan RMSR A-Heart UniMAP disaksikan oleh Azmir (kiri) dan Zaliman (dua kanan). FOTO Aizat Sharif
TUANKU Syed Faizuddin (dua kiri) bersama Tuanku Lailatul Shahreen (tiga kiri) merasmikan RMSR A-Heart UniMAP disaksikan oleh Azmir (kiri) dan Zaliman (dua kanan). FOTO Aizat Sharif

"Rangkaian bilik terapi ini menerima tajaan lebih RM3.7 juta yang sudah memanfaatkan lebih dari 7,000 kanak-kanak istimewa di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Insya-Allah, kita akan membuka dengan lebih banyak bilik seperti ini berdasarkan permintaan, jika ada permintaan untuk keperluan ini maka kita akan lihat kesesuaian lokasi selain bekerja sama dengan agensi atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan badan bukan kerajaan lain," katanya.

Terdahulu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan majlis berkenaan yang turut dihadiri Naib Canselor UniMAP, Profesor Ts Dr Zaliman Sauli.

Dalam majlis itu juga, Azmir turut menyampaikan bayaran zakat korporat sebanyak RM100,000 daripada McDonald's Malaysia kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

RMSR Perlis beroperasi di Hub Sumber Pendidikan dan Latihan Autism atau Autism Hub For Educational Resources And Training (A-Heart) UniMAP di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Bilik terapi ini dilengkapi dengan pelbagai modul latihan untuk pelatih atau ah li terapi OKU kanak-kanak ini agar mereka dapat memberikan perkhidmatan yang bersesuaian untuk kanak-kanak dari golongan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 6:02 PM