ANTARA 284 jemaah haji pertama yang berlepas ke Tanah Suci dengan penerbangan Malaysia Airlines MH8056 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah pada 2.05 pagi ini. FOTO BERNAMA
ANTARA 284 jemaah haji pertama yang berlepas ke Tanah Suci dengan penerbangan Malaysia Airlines MH8056 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah pada 2.05 pagi ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Sepang: "Terkejut dan terharu dapat menjadi tetamu Allah bersekali dengan ibu bapa saya", itu antara kata-kata yang diungkapkan seorang pelajar jurusan seni reka grafik Muhammad Na'im Naqiuddin Abdul Halim.

Beliau yang hanya berumur 21 tahun adalah anak tunggal bagi pasangan Abdul Halim, 61, seorang pesara tentera dan Hasni Hasan, 59, antara yang berlepas ke Tanah Suci pada awal pagi Ahad menerusi kumpulan pertama, terdiri daripada 284 jemaah haji Malaysia.

Kesemua mereka berlepas dengan penerbangan Malaysia Airlines MH8056 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah pada 2.05 pagi Ahad.

Bercakap kepada Bernama ketika ditemui pada majlis pelepasan kumpulan pertama jemaah haji di KLIA di sini awal pagi ini, beliau yang berasal dari Sungai Petani, Kedah berkata pada mulanya beliau tidak mempercayai bahawa dirinya terpilih untuk menunaikan haji namun percaya rezeki berpihak kepadanya.

"Saya hanya harapkan ibu bapa saya terpilih untuk haji kali ini atas faktor umur mereka namun bila saya dapat tahu nama saya naik, saya terus sujud syukur, kira ini rezeki saya," kata pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah (UniSHAMS), Kuala Ketil, Kedah itu.

Bagi Yaakop Murad, 64, beliau menyifatkan peluang menunaikan haji merupakan kebanggaan baginya sebagai seorang Islam yang dapat menunaikan Rukun Islam kelima tersebut, apatah lagi ia turut disertai oleh isterinya Che Sarimah Endud, 62 tahun.

"Seronok, nak cakap tak tahu macam mana. Ia merupakan kebanggaan sebagai seorang Islam dan Melayu kerana dapat tunaikan haji. Anak-anak pun gembira menghantar kami suami isteri sebelum berlepas tadi," kata bekas juruteknologi makmal perubatan di Kementerian Kesihatan itu.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH) merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman pada sidang media sempena majlis pelepasan berkenaan berkata 31,600 jemaah haji yang merupakan kuota penuh rasmi negara akan berlepas ke Tanah Suci secara berperingkat.

Ditanya mengenai keadaan cuaca yang tidak menentu di Arab Saudi dan persediaan TH menangani perkara tersebut bagi keselesaan jemaah haji, beliau berkata penerangan berkaitan cuaca dan sebagainya telah diberikan ketika kursus haji yang diadakan sejak awal tahun lagi.

"Kita tekankan penjagaan kesihatan pada setiap jemaah haji dan aspek keselamatan kerana suhu persekitaran dijangka mencecah 50 darjah Celcius.

"Sebarang aktiviti berkumpulan anjuran TH akan diadakan sebelah malam supaya jemaah haji tidak terdedah kepada cuaca panas, cuma di Madinah dan Mekah terutama ketika Masyair iaitu di Arafah, Mudzalifah dan Mina, mereka hanya duduk di khemah dan mungkin terdedah kepada cuaca panas," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata TH mempunyai pasukan perubatan yang sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan dan menjaga kesemua jemaah haji dengan sebaiknya.

Bagi tahun ini, Hari Wuquf iaitu 9 Zulhijah dijangka jatuh pada Selasa iaitu 27 Jun ini.

Penerbangan pertama jemaah haji negara bermula pada 21 Mei manakala penerbangan pulang terakhir ialah pada 1 Ogos depan.

Dalam pada itu, beliau juga merakamkan penghargaan khas kepada kerajaan Arab Saudi yang masih meneruskan program 'Makkah Route' yang membolehkan bakal jemaah haji Malaysia ke Makkah tanpa perlu melalui prosedur yang memakan masa, sebaik tiba di lapangan terbang negara itu.

Menerusi inisiatif itu, anggota imigresen Arab Saudi yang berada di kaunter di KLIA bagi program itu akan memeriksa pasport jemaah haji dan apabila tiba di lapangan terbang Madinah atau Jeddah, jemaah haji Malaysia tidak perlu lagi menunggu proses imigresen dan kastam di negara itu.

Sebanyak 98 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia yang membabitkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines pada tahun ini berbanding 48 bagi 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 11:01 AM