Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Seramai sembilan individu sudah dihukum penjara atas kesalahan gagal melunaskan bayaran tuntutan nafkah yang diperintahkan mahkamah syariah.

Ketua Hakim Syarie Terengganu Datuk Wan Zakri Wan Mohd berkata, sembilan individu terbabit dijatuhkan hukuman sejak 2012 sehingga 2019.

Menurutnya, tempoh penjara yang dikenakan kepada sembilan individu terbabit antara tujuh sehingga maksimum 30 hari mengikut Peruntukan Tindakan Notis Penghakiman yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah.

"Justeru, mahkamah syariah tidak memandang ringan mengenai kesalahan ini dan tindakan sewajarnya boleh diambil sekiranya pihak lelaki masih culas untuk membuat pembayaran nafkah.

"Antara yang dikelola oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Mahkamah Syariah Terengganu iaitu Dana Pendahuluan Nafkah Anak (DPNA) yang mana golongan yang mempunyai kes tuntutan nafkah anak di mahkamah syariah bagi tujuan nafkah ini diberikan bantuan untuk meringankan beban mereka kerana keculasan pihak suami.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

"DPNA ini duitnya disumbangkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan penerima tidak perlu lagi membuat pembayaran balik," katanya.

Beliau berkata selepas majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.

Hadir sama Yang Dipertua Maidam Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.

Menurutnya, suami perlu membayar balik dana yang disalurkan kepada bekas isteri menerusi dana kedua yang disediakan iaitu Dana Bantuan Nafkah Anak (DBNA).

Bagaimanapun, katanya, ada golongan yang mendapat dana itu tetapi mereka masih lagi dalam proses tindakan pelaksanaan perintah untuk mendapatkan balik nafkah daripada suami yang culas membayarnya.

Sementara itu, majlis penyampaian bantuan DPNA semalam menyerahkan bantuan berjumlah RM52,470 kepada 32 penerima.

"Masih ramai yang culas untuk membayar nafkah ditambah dengan keadaan semasa suami yang tidak mampu membayar sebahagian nafkah yang diperintahkan oleh mahkamah.

"Bagaimanapun mahkamah memerintahkan berdasarkan kepada keperluan sebenar anak dan kemampuan pihak bapa untuk menanggung nafkah anak akan tetapi masih ramai yang culas," katanya.

Menurutnya, antara tindakan yang diambil seperti potong gaji dan dipenjarakan namun tidak kurang suami yang gagal dikesan untuk diambil tindakan selepas gagal melunaskan tuntutan nafkah.

Mengulas mengenai trend penceraian di Terengganu, beliau berkata, banyak kes terletak kepada keegoan bukan lelaki saja, malah wanita juga.

"Kami ada majlis suluk sebelum proses penceraian, mereka perlu memasuki proses mediasi di mana mereka perlu mencari jalan terbaik tetapi kerana keegoan mereka meneruskan hajat untuk bercerai.

"Ada juga pasangan yang beranggapan alang-alang sudah sampai ke mahkamah lebih baik mereka teruskan penceraian.

"Namun, saya letakkan sikap ego mengatasi segalanya hingga menyebabkan hubungan boleh diteruskan selepas selesai majlis mediasi namun sebaliknya yang berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 2:23 PM