Shah Alam: Mahkamah Tinggi Syariah, semalam, dimaklumkan tiada individu dihantar bekas pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, 28, sebagai wakil menyerahkan nafkah kepada bekas isterinya, Rita Rudaini, 39.

Perkara itu dinyatakan abang kandung Rita, Ahmad Musyaiful Mokhtar, 40, yang menjadi saksi perbicaraan tuntutan tunggakan nafkah RM102,000 dari Januari 2012 hingga pasangan itu bercerai pada Ogos 2013.

Menurut Ahmad Musyaiful, sepanjang pengetahuannya, ketika melawat adiknya di rumah di Challis Damansara, Petaling Jaya, Mohamad Aidil tidak menghantar wakil untuk memberi nafkah.

Katanya, Rita juga ada memaklumkan kepadanya bekas suami tidak menyediakan nafkah sepanjang 20 bulan ditinggalkan.

“Saya ada melawat plantif (Rita) lebih 10 kali sepanjang tempoh itu dan sepanjang pemerhatian dan pengetahuan saya, tiada wakil dari pihak defendan datang menyerahkan nafkah.

“Plantif ada memaklumkan kepada saya perbelanjaan merangkumi keperluan asas ditanggungnya sendiri sepanjang ditinggalkan defendan,” katanya ketika menjawab soalan peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakili Rita.

Katanya, tuntutan nafkah RM5,100 sebulan oleh Rita adalah munasabah dengan mengambil kira keperluan asas seperti sewa rumah, pakaian, makanan dan pembayaran bil utiliti.

Ahmad Musyaiful berkata, dia yakin defendan mampu membayar tunggakan nafkah berdasarkan pendapatan lebih RM50,000 sebulan sebagai pemain bola sepak profesional untuk kelab Johor Darul Takzim (JDT) dan Persatuan Bola Sepak Kebangsaan (FAM).

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Mawardi Che Wan dan Mohamad Aidil tidak hadir di mahkamah diwakili peguam syarie Rushdan Sujak Rafie.

Perbicaraan disambung 25 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 9:01 AM