GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Ketua Polis Balai (KPB) antara tujuh pegawai dan anggota polis yang ditahan dalam serbuan di sebuah balai polis di Pulau Pinang semalam kerana menjalankan aktiviti nombor ekor haram.

Sumber Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman berkata, pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan anggota polis berpangkat Koperal serta Lans Koperal antara individu yang ditahan dalam serbuan pada jam 7.30 malam.

"Siasatan mendapati ada antara mereka menjalankan kegiatan nombor ekor haram menerusi telefon pintar masing-masing.

"Semua individu terbabit ditahan di balai polis tempat mereka bertugas, pasukan serbuan turut merampas enam telefon pintar pelbagai jenama," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menahan lima orang awam dalam serbuan berasingan dipercayai ahli sindiket nombor ekor haram terbabit.

"Hasil penahanan individu berkenaan polis merampas sebuah komputer riba, satu telefon pintar, wang tunai RM10,959 dan peralatan perjudian.

"JIPS kini sedang melakukan siasatan lanjut terhadap semua pegawai dan anggota yang ditahan dalam serbuan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 12:52 PM