Nuraliawati Sabri


Melaka: Pertunjukan persembahan kebombaan oleh Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) mencuri perhatian lebih 3,000 hadirin yang hadir pada Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 yang berlangsung di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir, di sini.

Selain perarakan dan persembahan turut diperagakan adalah jentera dan aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam hadir merasmikan sambutan.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming, Ketua Pengarah JBPM, Abdul Wahab Mat Yassin serta Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin.

Bertemakan 'Bomba Tonggak Penyelamatan Negara' acara dimulakan dengan bacaan doa, ikrar dan seterusnya deklamasi sajak bertajuk 'Pahlawan Wira Merah' yang disampaikan oleh Penolong Penguasa Bomba, Seri Tuti Hadayani Salleh serta Pegawai Bomba, Mohd Fauzi Jamikah.

Turut mendapat perhatian ramai persembahan gimik pelancaran operasi penyelamatan seorang kanak-kanak yang terperangkap akibat tanah runtuh.

Acara dimeriahkan lagi dengan perbarisan 30 kontinjen dan 54 unit jentera membabitkan pembabitan lebih 1,330 peserta.

Antara jentera dipertontonkan adalah 'High Performance Pump Modul', 'Foam Tender', 'Water Tanker', Helikopter Agusta 109 E, Agusta Westland AW 139 dan Mi-17.

Terdahulu, pada majlis turut menampilkan anak Allahyarham Pegawai Bomba Mohd Diya Che Jusoh dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah yang terkorban semasa operasi penyelamatan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat pada 20 Oktober 2021, bagi mengambil barangan peribadi operasi milik bapanya.

PERTUNJUKAN daripada Pasukan STORM sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 yang berlangsung di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di Banda Hilir, di sini. FOTO Nuraliawati Sabri
PERTUNJUKAN daripada Pasukan STORM sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 yang berlangsung di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di Banda Hilir, di sini. FOTO Nuraliawati Sabri

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 3:25 PM