GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Bentong: Gara-gara mahu menuntut insurans, lelaki membuat laporan polis palsu mendakwa motosikal miliknya hilang di Genting Permai, Genting Highlands, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki tempatan berusia 33 tahun itu yang mendakwa motosikal miliknya hilang di lokasi berkenaan pada 10.30 malam, 10 Mei lalu.

"Pihak polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Bentong merakam keterangan lelaki terbabit di Balai Polis Genting, jam 3 pagi, Khamis lalu.

"Berdasarkan keterangan lelaki itu, motosikal miliknya hilang semasa diletakkan di belakang sebuah premis kedai di Genting Permai, Genting Highlands," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Zaiham berkata, terdapat keraguan terhadap keterangan lelaki itu sebelum siasatan dijalankan dengan melakukan pemeriksaan terhadap kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan premis berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati motosikal lelaki itu tidak hilang dan dia mereka-reka cerita berkenaan (motosikal hilang) kerana kenderaan itu rosak serta mempunyai tunggakan bayaran bulanan.

"Tujuan lelaki itu membuat laporan polis palsu kerana mahu membuat tuntutan insurans," katanya.

Susulan itu, katanya, pihak polis membuat laporan terhadap suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat laporan polis palsu kerana tindakan boleh diambil terhadap individu yang melakukan perbuatan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 9:01 AM