TANGKAP layar video tular menunjukkan pintu kecemasan kebakaran di SkyCasino, Genting Highlands yang tutup akibat bunyi penggera kebakaran yang tular di media sosial, semalam.
TANGKAP layar video tular menunjukkan pintu kecemasan kebakaran di SkyCasino, Genting Highlands yang tutup akibat bunyi penggera kebakaran yang tular di media sosial, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Bentong: Polis menafikan berlakunya rompakan atau kebakaran di SkyCasino, Genting Highlands, di sini, seperti didakwa dalam satu rakaman video yang tular di media sosial, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video dalam bahasa Hokkien melalui satu akaun TikTok yang memaklumkan berlaku rompakan atau kebakaran di SkyCasino, semalam.

"Antara kenyataan di dalam video berkenaan adalah kasino tidak dapat dimasuki, orang di dalam kasino tidak dapat keluar serta pintu kasino sudah dikunci.

"Individu itu juga mendakwa mungkin berlaku rompakan atau kebakaran menyebabkan kesesakan di luar pintu kasino dan tidak boleh ke stesen kereta kabel kerana semua laluan ditutup.

"Malah, tempahan bilik juga tidak boleh dilakukan kerana semua kaunter ditutup. Individu itu mendakwa orang di dalam kasino tidak dapat keluar, manakala orang di luar tidak dibenarkan masuk," katanya.

Zaiham berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung perkara itu.

"Hasil siasatan dilakukan mendapati tiada kejadian rompakan berlaku seperti didakwa di dalam video tular berkenaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan sesuatu yang boleh menimbulkan kegusaran atau menjejaskan ketenteraman awam," katanya.

Sementara itu, Resorts World Genting dalam kenyataan, memaklumkan pintu kecemasan kebakaran di laluan masuk SkyCasino mengalami kerosakan akibat amaran palsu kebakaran jam 1.30 tengah hari, semalam.

"Bagaimanapun, perkara itu berjaya diselesaikan kira-kira 15 minit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 9:25 PM