PENGANGGUR (gambar kecil) yang positif dadah dipercayai mencetuskan kebakaran rumah di Seksyen 17 Petaling Jaya dan menghalang bomba daripada memadam kebakaran itu. FOTO Ihsan Polis.
PENGANGGUR (gambar kecil) yang positif dadah dipercayai mencetuskan kebakaran rumah di Seksyen 17 Petaling Jaya dan menghalang bomba daripada memadam kebakaran itu. FOTO Ihsan Polis.
Amir Abd Hamid


Petaling Jaya: Polis menahan lelaki yang dipercayai mencetuskan kebakaran dan menghalang bomba daripada memadamkannya di sebuah rumah di Seksyen 17 di sini, semalam.

Penganggur berusia 42 tahun itu juga bertindak mengacu pisau dalam usaha menghalang anggota bomba daripada memasuki kediaman berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, suspek warga tempatan dipercayai khayal akibat dadah ketika tindakannya.

Katanya, kebakaran itu disedari pada 3.33 petang oleh wanita yang kemudian menghubungi talian kecemasan.

"Pasukan polis dan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dan Petaling Jaya dikejar ke lokasi, namun apabila tiba, pasukan dihalang suspek daripada memasuki rumah dan bersenjatakan pisau.

"Halangannya dipatahkan polis sebelum bomba bertindak memadamkan kebakaran itu. Suspek diberkas dan siasatan mendapati dia menyewa salah satu bilik dalam rumah berkenaan.

"Suspek dipercayai membakar langsir bilik tidur menyebabkan berlaku kebakaran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil saringan ujian air kencing dilakukan terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin, namun tiada rekod kesalahan lampau.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan khianat dengan api, manakala suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 15 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 8:47 PM