Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Amir Abd Hamid


Petaling Jaya: Marah kerana disaman, seorang penolong pengurus syarikat swasta bertindak mengeluarkan kata kesat berbaur penghinaan kepada polis di hadapan stesen minyak di Kampung Kayu Ara di sini, hari ini.

Tindakan biadab pemuda itu membawa padah apabila ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, esok untuk permohonan tahanan reman.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku apabila anggotanya yang melakukan rondaan, menahan suspek berusia 27 tahun pada 10.40 pagi selepas melihatnya dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan terhadap suspek yang menunggang motosikal Yamaha 125z mendapati dia tiada lesen memandu dan saman dikeluarkan atas kesalahan itu.

"Apabila suspek menerima salinan saman, dia terus membuangnya sambil meninggikan suara, menjerit seolah tidak berpuas hati.

"Anggota polis cuba menasihatinya tetapi suspek tidak mengendahkannya dan dia mengeluarkan kata-kata kesat yang berbaur penghinaan terhadap polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, susulan itu suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan perkataan kurang sopan.

Katanya, jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 11:39 PM