M Hifzuddin Ikhsan

Arau: Pengundi yang membuat kesilapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diyakini akan kembali menyokong Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, selepas melihat perubahan yang dibawa Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perubahan itu dapat dilihat dalam bentuk sokongan yang diberikan rakyat kepada gaya kepimpinan yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata, pihaknya yakin perubahan dapat dilihat dalam bentuk sokongan kepada Umno pada PRN akan datang terutamanya di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

"Kita sedang menyusun langkah bersama rakan-rakan lain, kita berada pada tahap memperbaiki kelemahan lalu. Saya yakin kesilapan pengundi pada PRU-15 akan diperbaiki kerana ada penyesalan apabila berlaku pertukaran kerajaan (yang tidak sama di Persekutuan) di negeri terbabit.

"Kita dapat lihat kecenderungan perubahan haluan sokongan mereka daripada anti pembangunan kepada pro pembangunan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri ketika ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Umno Perlis di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Umno Perlis, Datuk Rozabil Abd Rahman dan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijangka mengadakan PRN selewat-lewatnya Julai ini, selepas penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing tamat tempoh.

AHMAD Zahid berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Umno Perlis di Dewan Sivik Arau, hari ini. FOTO Syaharim Abidin
AHMAD Zahid berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Umno Perlis di Dewan Sivik Arau, hari ini. FOTO Syaharim Abidin

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memaklumkan pihaknya dalam menentukan kerusi yang bakal ditandingi MCA dan MIC pada PRN akan datang.

Katanya, BN akan cuba memenuhi permintaan semua parti komponen terbabit, namun segala keputusan akan dibuat secara bersama parti di bawah Pakatan Harapan (PH).

"Malam tadi berlangsung perbincangan bersama parti komponen BN, saya berikan tanggungjawab ini kepada Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hassan untuk mendengar dan mengambil apa jua pandangan dan permintaan rakan komponen.

"Apabila selesai rundingan di peringkat negeri, kita akan bawa ke Dewan Tertinggi BN dan keputusan akhirnya akan diputuskan secara bersama Pengerusi BN dan PH.

"Kita tidak boleh buat keputusan secara tergopoh-gopoh atau tergesa-gesa, kita harus menyantuni keperluan semua pihak melalui pendekatan penuh bijaksana dan tatasusila agar keputusan dapat dimuktamadkan penuh keharmonian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 6:27 PM