Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal
Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bukit Gantang: Tiada sistem sambungan secara terus antara Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dikenal pasti menjadi punca Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) terus dibayar kepada nelayan yang sudah meninggal dunia seperti yang dilapor media baru-baru ini.

Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, pihaknya mengenalpasti kelemahan itu yang mana LKIM masih menggunakan kaedah manual bagi merekodkan kematian penerima ESHN.

Menurutnya, sikap waris yang tidak memaklumkan kes kematian penerima ESHN, juga menjadi punca elaun itu terus dibayar melalui bank.

"Saya pasti tiada sebarang penyelewengan atau ketirisan berlaku dalam LKIM, cuma sistem sedia ada (manual) kita tidak dihubung terus dengan JPN.

"Jika sistem kita automatik 'link' dengan JPN, dengan mudah kita boleh hentikan bantuan EHSN atau subsidi minyak kepada penerima yang sudah meninggal dunia.

"Ini kelemahan yang kita kenal pasti dan LKIM akan menambah baik sistem sedia dan akan bekerjasama dengan JPN," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Back To School Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Tinggi, di sini, hari ini.

Dalam program itu seramai 100 penerima terdiri dari anak-anak nelayan menerima sumbangan wang tunai RM 200 seorang.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, semakan mendapati kes terbabit (pembayaran ESHN masih dibayar kepada penerima yang sudah meninggal dunia) banyak berlaku di Sabah dan Sarawak memandangkan kebanyakan mereka tinggal di pulau yang jauh.

"Disebabkan perkara itu pegawai kita pun susah nak sampai ke sana menyebabkan perkara itu (kematian penerima EHSN) tidak dapat dilaporkan," katanya.

Terdahulu media melaporkan LKIM dikesan membayar Skim Subsidi Diesel dan Petrol berjumlah RM2.12 juta kepada pemilik vesel perikanan yang tidak mengisytiharkan hasil tangkapan ikan.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020 Siri 1, LKIM di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan turut membuat pembayaran elaun sara hidup nelayan (EHSN) berjumlah RM24,571 kepada nelayan yang sudah meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 3:09 PM