Khairulmizan Yahya

Kuantan: Gara-gara mahu mengelak dicekup pihak berkuasa, seorang lelaki nekad meninggalkan lori yang dipandunya di bahu jalan dan berlari melintas lebuh raya tanpa memikirkan keselamatan diri.

Kejadian berlaku ketika anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri menahan sebuah lori lima tan di Kilometer 220.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah barat dekat Gambang, di sini, pada 20 Februari lalu.

Pengarah Kastam Pahang Wan Apandi Wan Hassan berkata, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pahang menahan lori itu selepas menerima maklumat awam mengenai kegiatan sindiket penyeludupan rokok kira-kira 9 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Pantai Timur ke Pantai Barat dan pemandunya bertindak melarikan diri ke seberang jalan dengan meninggalkan lori di bahu jalan.

"Hasil pemeriksaan fizikal menemui sebanyak 102,000 bungkus berisi 2.04 juta batang rokok putih disyaki barang larangan import dianggarkan bernilai RM163,200. Rokok dan lori terbabit turut dirampas untuk tindakan lanjut.

"Rampasan rokok itu membabitkan jumlah duti atau cukai dianggarkan sebanyak RM1.36 juta menjadikan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM1.58 juta," katanya dalam sidang media di Kompleks JKDM Pahang, di sini, hari ini.

WAN Apandi (kanan) bersama anggotanya menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas bernilai lebih kurang RM1.58 juta, ketika sidang media di Wisma Kastam, Indera Mahkota. FOTO Farizul Hafiz Awang
WAN Apandi (kanan) bersama anggotanya menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas bernilai lebih kurang RM1.58 juta, ketika sidang media di Wisma Kastam, Indera Mahkota. FOTO Farizul Hafiz Awang

Wan Apandi berkata, modus operandi sindiket berkenaan menggunakan lori 'bonded' dan bergerak aktif pada waktu malam sehingga ke awal pagi bagi mengaburi pihak berkuasa.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 sehingga 20 kali ganda nilai barang atau RM100,000 hingga RM500,000 (yang mana lebih tinggi) atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, JKDM menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 2:49 PM