Pekerja batik Muhd Hilmi Abdullah, 29, mengangkat kain batik yang sudah dikeringkan. FOTO Bernama
Pekerja batik Muhd Hilmi Abdullah, 29, mengangkat kain batik yang sudah dikeringkan. FOTO Bernama
BERNAMA

Kota Bharu: Cuaca panas ekstrem yang melanda Kelantan sejak beberapa minggu lepas memberi peluang kepada pengusaha batik di negeri ini melakukan semua aktiviti berkaitan penghasilan tekstil itu dengan lancar.

Malah menurut pengusaha batik, Mohd Nawawi Mat Rifin, 42, aktiviti menjemur untuk mengeringkan kain batik menjadi lebih cepat berbanding biasa.

"Sebelum ini proses mengeringkan kain batik di ampaian mengambil masa antara tujuh dan lapan jam, tetapi dalam keadaan cuaca panas luar biasa ini proses menjadi lebih singkat iaitu kira-kira tiga jam sahaja.

"Ini memberi kelebihan kepada pengusaha batik mengeluarkan produk lebih banyak bagi memenuhi permintaan pasaran," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Badang di sini hari ini.

Menurutnya dalam keadaan cuaca ketika ini pengusaha batik mampu menghasilkan hampir seribu helai kain batik sehari.

Nawawi yang mewarisi perusahaan batik daripada bapanya sejak 30 tahun lepas, berkata kerja-kerja mencanting batik juga berjalan lancar apabila lilin yang digunakan terus kering sempurna selepas dilukis atau dicop.

"Bagi batik cap, tekapan lilin terus kering sempurna selepas kerja-kerja mengecap dilakukan. Cuma untuk memastikan coraknya kemas, kain batik yang telah dicap jangan terus dilipat," katanya.

MOHD Nawawi (kanan) memantau pekerjanya melakukan proses menerap batik pada kain. FOTO Bernama
MOHD Nawawi (kanan) memantau pekerjanya melakukan proses menerap batik pada kain. FOTO Bernama

Isterinya, Norbaizan Basir, 33, pula berkata rekaan kaftan dan jubah antara produk yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan ketika ini.

Katanya, dalam keadaan cuaca panas, kerja-kerja menghasilkan kain batik untuk dua jenis produk itu dapat dilakukan tanpa sebarang masalah oleh 70 pekerja di premis perniagaannya.

"Cuma sayangnya, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini permintaan kain batik agak menurun. Itu senario biasa dalam industri ini yang ada naik turun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 12:15 PM