TUNKU Azizah mempunyai pemikiran sendiri tentang reka bentuk dan warna bagi karya yang dihasilkan.  FOTO Fauziah Ismail
TUNKU Azizah mempunyai pemikiran sendiri tentang reka bentuk dan warna bagi karya yang dihasilkan. FOTO Fauziah Ismail
Fauziah Ismail


Kuala Lumpur: Lebih 30 helai batik tangan rekaan baharu oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan dipamerkan ketika Hari Kraf Negara 2022 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Pameran berkenaan akan bermula pada 23 Februari hingga 7 Mac ini.

Potongan batik ini adalah hasil batik tangan dicelup dan antara fabrik lain adalah krep, sutera dan linen.

Ia bakal menjadi pameran batik solo kedua Tunku Azizah untuk Hari Kraf Kebangsaan selepas Pameran Batik Beragi Pahang pada 2020.

Pada tahun lalu, batik tangan Che Minah Sayang dipamerkan di pameran Fesyen Batik Malaysia anjuran Yayasan Budi Penyayang (Penyayang) dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Tunku Azizah yang memperkenankan untuk ditemui petugas Galeri Prima menyatakan bahawa Institut Kraf Negara (IKN) adalah tempat permainannya.

Dalam pada itu, Raja Permaisuri Agong meletakkan sentuhan terakhir pada empat helai terakhir lukisan batik berkenaan.

"Saya sudah datang ke sini sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mengusahakan bahagian ini sepanjang tempoh pandemik Covid-19. Ia menjadi terapeutik," katanya.

Tunku Azizah menyatakan empat bahagian batik ini dibuat pada masa sama secara bergilir-gilir.

"Saya mulakan pada sekeping dahulu, sementara menunggu warna kering, saya akan buat kepingan kedua dan beralih kepada kepingan lain, jadi tiada masa terbuang," katanya.

Setiap helai berukuran 4.5 meter dan dibuat secara berpasangan iaitu satu helai boleh dijadikan pakaian lelaki manakala satu lagi boleh dijadikan pakaian wanita.

Kecintaan Tunku Azizah terhadap batik bermula sebelum menjadi Raja Permaisuri Agong lagi.

"Saya pernah ke Cherating (Pahang) untuk melukis batik. Saya juga mendaftar untuk kelas induk selama empat hari dalam lukisan batik di London.

"Saya di sana menemani anak yang menduduki peperiksaan, saya tidak mempunyai banyak perkara, jadi saya melakukannya," kata Raja Permaisuri Agong.

Meskipun Raja Permaisuri Agong mempelajari pelbagai teknik untuk melukis batik, baginda sememangnya bukan pereka batik daripada buku.

Walaupun ada piawaian ditetapkan untuk proses pembuatan batik, Tunku Azizah mempunyai pemikiran sendiri tentang reka bentuk dan warna karyanya.

"Saya memanggilnya batik tidak sengaja," kata baginda menerangkan berkaitan hasil batiknya.

"Jika anda minta saya ulang reka bentuk dan warna, saya tidak akan dapat melakukannya," tambahnya, sekali gus menjadikan setiap bahagian sebagai barangan eksklusif.

Baginda menandatangani bahagian ini dengan nama panggilannya Zizzi.

Tunku Azizah (kanan), membasuh kain batik yang sudah siap dilukis. FOTO Fauziah Ismail
Tunku Azizah (kanan), membasuh kain batik yang sudah siap dilukis. FOTO Fauziah Ismail

Selepas bongkah dicetak pada kain, Tunku Azizah akan melapiskan warna satu demi satu sehingga baginda berpuas hati dengan hasilnya.

Raja Permaisuri Agong tidak bersetuju dengan sebarang bantuan untuk menyelesaikan karya itu jadi setiap bahagian dibuat olehnya sendiri.

"Apabila kita melapis warna, hanya kita yang tahu tekanan yang kita gunakan apabila berus menyentuh kain. Ini perlu dilakukan secara berterusan sepanjang bahagian.

"Anda akan dapat melihat secara tidak konsisten dalam produk siap jika terlalu banyak tangan melakukannya," katanya.

Tiada setitik pewarna yang terbuang kerana Tunku Azizah akan menggunakannya semula sehingga tiada yang tinggal.

Batik cetakan blok adalah salah satu teknik pembuatan batik tradisional tertua di Malaysia.

Pada zaman awal, pelukis menggunakan bongkah kayu yang diukir dengan corak sebagai acuan untuk mencetak batik.

Kemudian pada 1960-an, pelukis mula menggunakan tembaga dan zink untuk membuat blok batik.

Ini membezakan batik Malaysia dengan batik Indonesia, iaitu Tjanting atau batik tulis apabila alat seperti pen digunakan untuk menyapu lilin panas cecair dalam proses membuat batik di sana.

"Ini (cetakan blok) batik kita (Malaysia). Kita harus terus memperjuangkannya dan mengekalkan proses pembuatan batik ini," katanya.

Tunku Azizah mempunyai koleksi peribadi bongkah kayu itu yang kini disimpan di IKN.

Selain itu, katanya, batik hanya boleh dipanggil seperti itu jika ia sudah melalui proses pembuatan batik termasuk merebusnya dalam air panas untuk mengeluarkan lilin (digunakan untuk mengecap bongkah pada kain) dan menetapkan warna pada batik menggunakan natrium silikat atau dipanggil pembalut batik.

Proses ini untuk memastikan warna tidak mudah luntur.

Sementara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah lebih gemar memakai baju diperbuat daripada Tenun Pahang Diraja.

Tunku Azizah berkata, anak-anaknya memakai baju batik diperbuat daripada kepingan yang pernah dibuatnya sebelum ini.

"Sepupu mereka tanya daripada mana mereka dapat baju batik mereka. Anak lelaki saya beritahu mereka - 'ibu saya yang membuatnya'. Ia membuatkan saya sangat bangga," katanya.

Raja Permaisuri Agong mungkin akan mengambil sebahagian daripada batik ini untuk dipamerkan pada Minggu Kraf London Mei ini apabila baginda akan mempamerkan Tenun Pahang Diraja.

Ini adalah kali pertama Tenun Pahang Diraja dan batik akan dipamerkan pada majlis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 7:30 AM