Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Beberapa kawasan di Kuala Kedah dinaiki air laut akibat kejadian air pasang besar yang melanda bermula hari ini.

Tinjauan di sekitar di Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah hari ini mendapati air laut melimpah sehingga ke warung makan sehingga ke jalan masuk ke pasar itu sekitar jam 2.30 petang tadi.

Kejadian itu turut menyebabkan pelanggan di warung makan itu terpaksa makan dalam air disebabkan air laut naik secara perlahan-lahan.

Bagaimanapun, air laut kemudian beransur surut selepas hampir sejam kemudian.

Nur Diana Arshad, 30, dia yang sedang makan bersama tiga rakannya terkejut apabila air mula memasuki warung makan itu sehingga melepasi buku lali.

Namun katanya, keadaan panik itu tiba-tiba seronok malah turut menjadi kenangan buat mereka kerana bukan senang hendak makan sambil kaki tenggelam dalam air.

"Masa kami masuk ke kedai makan ini, keadaan biasa saja pun tapi kira-kira 30 kemudian ketika hendak makan, tiba-tiba air naik dengan cepat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, kejadian air pasang besar melanda negeri ini selama dua hari bermula hari ini dan esok.

Katanya, kejadian air pasang berlaku hari ini pada jam 2.50 petang tadi dan kejadian sama dijangka berlaku 3.28 petang esok.

"Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah turut melakukan pemantauan awal di kawasan yang terjejas untuk memastikan keselamatan penduduk terutama di kawasan pesisir pantai yang berisiko dinaiki air.

"Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kejadian angin kencang dan laut bergelora sehingga menyebabkan ombak setinggi tiga meter dijangka berlaku di beberapa kawasan termasuk Kuala Kedah bermula esok sehingga Jumaat ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat APM Negeri Kedah, hari ini.

Saifuddin berkata, sekiranya air pasang berlaku pada waktu cuaca yang tidak baik seperti angin kencang dan laut bergelora ia boleh menyebabkan limpahan air laut dan lebih banyak kawasan ke rumah penduduk berhampiran.

Beliau berkata, selain itu, angin kencang juga berpotensi menjadi bencana ribut yang membabitkan beberapa daerah di Kuala Muda, Yan, Kubang Pasu dan Kota Setar serta Pendang.

"Ini kerana lima daerah terbabit berada di dataran tanah rata iaitu sawah padi dan tanah rata.

"Bencana ribut ini boleh menyebabkan kesan bencana seperti pokok tumbang, kerosakan rumah seperti bumbung tercabut dan pokok tumbang yang menimpa kenderaan dan orang awam.

"Melihat situasi ini, APM Kedah menasihatkan orang ramai supaya menjauhi pesisir pantai pada waktu air pasang dan sekiranya cuaca buruk,

atau ribut berlaku, sila elakkan berada di pohon besar untuk berlindung kerana ia boleh menyebabkan pokok tumbang," katanya.

Saifuddin berkata, selain itu, dijangka ombak yang boleh setinggi tiga meter, berbahaya kepada orang awam yang menjalankan rekreasi pantai atau mandi manda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 5:52 PM
WARUNG makan berhampiran pelantar ikan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah dinaiki air akibat limpahan air pasang besar yang berlaku hari ini. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
WARUNG makan berhampiran pelantar ikan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah dinaiki air akibat limpahan air pasang besar yang berlaku hari ini. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI