BUNG Mokhtar ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Ketua Umno Sabah bersama AJK 4 Peringkat Bahagian Tawau dan Kalabakan, di sini, malam tadi. FOTO Abdul Rahemang Taiming
BUNG Mokhtar ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Ketua Umno Sabah bersama AJK 4 Peringkat Bahagian Tawau dan Kalabakan, di sini, malam tadi. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Barisan Nasional (BN) Sabah belum mengambil sebarang tindakan terhadap Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy susulan dakwaan kemesraannya kepada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, setakat ini pihaknya cuma mengeluarkan amaran serta peringatan kepada Andi yang didakwa 'lebih mesra' atau cenderung kepada Gagasan Rakyat hingga mencetuskan pelbagai spekulasi kebelakangan ini.

"Setakat ini tidak ada apa-apa tindakan yang kita ambil. Cuma amaran. Tetapi, dalam masa yang sama saya akan memantau gerak-geri beliau.

"Ini kerana saya juga mendapat laporan daripada Umno bahagian dan penduduk setempat yang mendakwa bahawa tindak-tanduk Datuk Andi seolah-olah bukan lagi dalam Umno," katanya ketika diminta mengulas mengenai isu membabitkan Ahli Parlimen Kalabakan pada Majlis Ramah Mesra Ketua Umno Sabah bersama Ahli Jawatan Kuasa (AJK) 4 Peringkat Bahagian Tawau dan Kalabakan, di sini, malam tadi.

Bung berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas daripada Andi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu serta merangkap Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri berhubung pendiriannya.

"Kita tunggu apa reaksi dia seterusnya. Kalau secara terang-terangan dia sudah keluar atau berhasrat untuk keluar daripada Umno, maka tindakan perlu diambil.

"Tetapi setakat ini, melalui kenyataan di Facebook beliau, dia kata masih ahli Umno. Jadi kita relaks dulu lah.

"Perjuangan dalam politik memang begini, ada orang yang kita sudah menangkan tetapi tidak tahu mengambil untung nasib.

"Cuma saya ingin menyatakan, tidak ada orang yang lebih hebat daripada parti. Siapapun yang menang ia adalah datang daripada kekuatan parti dan bukannya kemenangan peribadi atau kapasiti individu mahupun diri sendiri," tegasnya.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kalabakan, Muhammad Alias Udin mempersoalkan status keahlian Andi yang juga mantan Ketua Bahagian itu selepas didakwa lebih mesra atau cenderung kepada Gagasan Rakyat.

Beliau turut mendakwa banyak program dan majlis rasmi yang diadakan tidak lagi menggunakan logo Umno atau BN selain program yang menggunakan tenaga ahli parti Umno hanya dinyatakan sebagai rakan kerjasama atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa ada sebarang penghargaan sewajarnya.

Disamping itu katanya, ketiadaan logo Umno dan BN dalam poster papan iklan ucapan Aidilfitri Andi yang dipasang baru-baru ini turut menjadi tanda tanya ahli dan penduduk di daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 12:13 PM