Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sesi perbahasan usul Titah Diraja Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin petang ini agak mencuit hati apabila beliau melabelkan wakil rakyat yang melompat parti sebagai monyet.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu menyelar tabiat segelintir wakil rakyat Sabah yang keluar parti dan menyertai parti lain kerana gelap wang ringgit dan tawaran jawatan.

Katanya, aktiviti melompat parti di Sabah kerap berlaku hingga budaya membeli Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) masih berlaku.

"Akta Lompat Parti tidak diterjemahkan di sebuah negeri termasuk di Sabah sebab itu sampai hari ini masih ada pembelian Adun dari parti lain.

"Adun di Sabah ini memang suka lompat macam monyet... lompat sana lompat sini, sehingga dia terlupa sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

"Asal jadi pengkhianat saja dapat jawatan, melompat jadi menteri, walaupun tak layak tak ada pendidikan langsung pun (boleh) jadi menteri," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya campur tangan dalam isu ini.

"Kerajaan negeri tak memikirkan hala tuju masa depan rakyat Sabah, hanya memikirkan bagaimana pertahankan kuasa memperlihatkan kepada orang ramai bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah kuat.

"Mengugut orang sana sini membeli dengan wang ringgit dengan tawaran jawatan dan sebagainya. Ini harus dihentikan," katanya.

Menjawab celahan Mohd Misbahul Munir Masduki (Parit Buntar-PN) mengenai lima Adun Umno Sabah keluar parti hari ini, katanya, mereka yang gemar melompat parti ini akan lenyap dari Sabah kerana rakyat bijak menilai.

"Ini yang saya sentuh, mereka ini melompat macam monyet. Monyet, jatuh sana jatuh sini asal melompat dapat jawatan asal melompat kiri dapat duit, bilalah nak berhenti Sabah ini.. malu saya.

"Saya yakin mereka yang suka mengkhianati ini insya-Allah akan kita lenyapkan dari bumi Sabah. Mereka yang tak ada kesetiaan dan berintegriti insya-Allah kita akan pupuskan spesies yang suka melompat ini," katanya.

Hari ini, lima Adun Umno di Sabah mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) iaitu Adun Sindumin, Datuk Yusof Yacob; Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Arshad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Hamid Awang (Balung).

BUNG Moktar pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
BUNG Moktar pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 7:26 PM