Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kerusi Parlimen Beluran yang disandang Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sah ditandingi Barisan Nasional (BN) selepas rundingan akhir dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), malam tadi.

Menerusi satu kenyataan lewat malam tadi, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, BN mencalonkan bekas Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Benedict Asmat bagi membawa cabaran gabungan itu di kerusi berkenaan.

Katanya, pemilihan Benedict mengambil kira latar belakangnya sebagai anak jati Beluran, selain pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah Beluran selama 20 tahun, sebelum dilantik menjawat beberapa jawatan penting kerajaan.

"Beliau juga pernah menjadi Pegawai Daerah Semporna, Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah.

"Selain berpengalaman luas dalam sektor perkhidmatan awam, Benedict juga bergiat aktif dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kini menjadi Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa)," katanya.

Calon bagi kerusi Parlimen Beluran tidak diumumkan pada Majlis Pengumuman calon GRS-BN, kelmarin, berikutan rundingan belum selesai sama ada kerusi itu dikekalkan kepada Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan atas tiket GRS atau diserahkan kepada BN.

Ronald menyandang kerusi Parlimen Beluran sejak 1999.

Setakat ini, belum ada sebarang maklum balas daripada GRS atau Ronald mengenai keputusan yang memihak kepada BN itu, namun timbul spekulasi kemungkinan berlaku kejutan pada hari penamaan calon, esok.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah turut mengumumkan pertukaran calon BN bagi kerusi Parlimen Kalabakan yang kelmarin diberikan kepada Ketua Pemuda Umno Kalabakan, Aslan Fadli Samsul Alang.

Namanya bagaimanapun digantikan dengan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 9:46 AM