Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Mazli Mazlan dilantik sebagai Ketua Polis Terengganu berkuat kuasa hari ini.

Perlantikan Mazli bagi menggantikan Datuk Rohaimi Md Isa yang bertukar ke Bukit Aman bagi menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Sahabudin Abd Manan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan, ketua-ketua polis daerah serta ketua-ketua jabatan.

Rohaimi yang menjalankan tugas selaku Ketua Polis Terengganu sejak 3 Jun 2021 dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada Mazli.

Sementara itu, Mazli berkata, beliau akan meneruskan tugas serta perancangan polis Terengganu sebagai agensi penguatkuasaan terbaik bagi menjaga keamanan, keselamatan dan ketenteraman masyarakat.

Beliau menegaskan akan meneruskan agenda pencegahan dan mengurangkan indeks jenayah, pematuhan undang-undang serta membantu kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan mengekalkan keamanan.

"Kita akan cuba menangani masalah mat rempit ini dan melihat daripada semua sudut untuk mengatasi isu berkenaan selain peningkatan kes kemalangan jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 12:37 PM
SAHABUDIN (tengah) menyaksikan majlis penyerahan Serah Terima Tugas Ketua Polis Terengganu baharu dari Datuk Rohaimi Md.Isa kepada Datuk Mazli Mazlan (kanan) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu. FOTO Ghazali Kori.
SAHABUDIN (tengah) menyaksikan majlis penyerahan Serah Terima Tugas Ketua Polis Terengganu baharu dari Datuk Rohaimi Md.Isa kepada Datuk Mazli Mazlan (kanan) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu. FOTO Ghazali Kori.