Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Tiga individu termasuk pelajar menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian membabitkan nilai kerugian hampir RM13,000.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketiga-tiga mangsa berusia 19, 26 dan 42 tahun masing-masing tampil membuat laporan polis, semalam.

"Pelajar lelaki berusia 19 tahun mendakwa kerugian RM2,186 selepas terpedaya dengan iklan yang menawarkan pekerjaan sambilan di kumpulan aplikasi WhatsApp.

"Mangsa berminat bekerja sebagai pemberi 'rating' (penilaian) di sebuah platform e-dagang popular dan dia dihubungi seorang individu mendakwa sejumlah komisen sudah dikreditkan kepadanya.

"Tetapi, mangsa harus membuat pembayaran ke dalam satu akaun bank yang diberikan sebelum komisen itu diluluskan dan mangsa yang percaya menurutinya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa kedua membabitkan peniaga wanita berusia 26 tahun yang kerugian RM3,400 selepas ditipu individu menyamar pelanggan yang mahu membeli sebuah buku, baru-baru ini.

"Mangsa terjerat selepas individu itu kononnya mahu membeli buku berjudul Wanita Wajib Kaya dengan membuat pembayaran dari luar negara.

"Namun, mangsa diminta membuat pembayaran terlebih dahulu bagi membolehkan transaksi diluluskan lalu memindahkan wang sebanyak RM3,400 sebelum menyedari dirinya ditipu," katanya.

Noorzainy berkata, penganggur lelaki berusia 42 tahun pula kerugian RM7,364 selepas terperdaya dengan sindiket pelaburan saham tidak wujud.

"Mangsa berminat untuk melabur selepas melihat satu iklan pelaburan patuh syariah yang menjanjikan pulangan berlipat kali ganda.

"Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa membuat bayaran sehingga dia sedar ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan," katanya.

Katanya, ketiga-tiga kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 5:38 PM