PENEMUAN tapak harimau di Felda Ulu Tebrau. FOTO Mary Victoria Dass
PENEMUAN tapak harimau di Felda Ulu Tebrau. FOTO Mary Victoria Dass
Omar Ahmad

Johor Bahru: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor sedang memasang kamera bagi mengesan harimau yang menggemparkan penduduk di Felda Ulu Tebrau di sini, baru-baru ini.

Pengarah Perhilitan Johor, Aminuddin Jamin berkata, pihaknya kini sedang membuat rondaan pemantauan dan rondaan kawalan bersama pengurusan Felda Ulu Tebrau.

Katanya, percaya berdasarkan kesan akhir yang ditinggalkan sebulan lalu, harimau yang berkeliaran di Felda terbabit sudah keluar dari kawasan itu.

"Ketika ini Perhilitan dalam proses memasang kamera untuk mengenal pasti harimau berkenaan dan jika kehadirannya di kesan kita akan memasang perangkap.

"Tetapi kita jangkakan kemungkinan harimau ini sudah keluar dari kawasan Felda Ulu Tebrau kerana kesan akhir yang kita temui sudah sebulan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Aminuddin, berdasarkan saiz tapak kaki yang ditinggalkan, pihaknya percaya haiwan terbabit ialah harimau dewasa yang datang dari luar kawasan.

"Kawasan sekitar Felda Ulu Tebrau memang tiada harimau. Kita percaya harimau ini seekor dan mungkin ia datang dari hutan di Kota Tinggi," katanya.

Penduduk Felda Ulu Tebrau terpaksa meneruskan aktiviti pertanian dalam keadaan ketakutan berikutan bimbang ancaman harimau yang muncul di ladang sawit di kawasan itu sejak pertengahan bulan lalu.

Pada 29 April lalu, Perhilitan mengesahkan tapak kaki haiwan liar yang ditemukan di kebun kelapa sawit di Felda Ulu Tebrau di sini, dipercayai tapak kaki harimau.

Terdahulu, tular di laman sosial mengenai penemuan bangkai seekor lembu tanpa kepala yang dipercayai diserang haiwan buas serta tapak kaki haiwan terbabit sehingga menimbulkan kegusaran penduduk di sekitar Felda Ulu Tebrau.

Tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 1:46 PM