LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini
BERNAMA

Johor Bahru: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor mengesahkan tapak kaki haiwan liar yang ditemukan di kebun kelapa sawit di Felda Ulu Tebrau di sini, dipercayai tapak kaki harimau.

Pengarah Perhilitan Johor Aminuddin Jamin berkata pihaknya sudah melakukan pemeriksaan dan menjalankan pemantauan selepas menerima laporan berhubung penemuan bangkai binatang ternakan di kebun kelapa sawit di kawasan itu.

"Berdasarkan pemeriksaan awal, kesan-kesan (yang ditemukan ialah harimau), namun siasatan masih dijalankan.

"Kita akan melaksanakan pemasangan perangkap kamera (bagi mengesan kehadiran haiwan liar berkenaan) dalam masa terdekat. Bagaimanapun, kita perlu tarik pemasangan kamera di kawasan lain terlebih dulu, " katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Aminuddin turut menasihatkan kepada orang ramai agar melaporkan segera kepada Perhilitan sekiranya terserempak dengan hidupan liar dan elakkan daripada mengambil sebarang tindakan provokasi.

Terdahulu, tular di laman sosial mengenai penemuan bangkai seekor lembu tanpa kepala yang dipercayai diserang haiwan buas serta tapak kaki haiwan terbabit sehingga menimbulkan kegusaran penduduk di sekitar Felda itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa Amira Aisya Abd Aziz berkata beliau sudah berhubung dengan pengurus Felda berkenaan serta menasihati penduduk berhampiran agar mengutamakan keselamatan mereka.

"Kita juga tidak menggalakkan mereka untuk masuk ke kawasan ladang buat sementara waktu, namun sekiranya perlu juga masuk, pastikan berpasangan atau secara berkumpulan.

"Keselamatan paling utama. Agensi berwajib sedang jalankan tanggungjawab mereka sebaik mungkin," katanya menerusi catatan dalam Facebooknya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 4:42 PM