ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Dipercayai berang ditegur membuat pusingan U secara mengejut di persimpangan lampu isyarat, seorang lelaki yang dalam pengawasan polis (PS) bertindak ganas dengan mencekak leher dan mengacukan pistol angin di kepala seorang mekanik.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku jam 12.15 tengah malam tadi di persimpangan lampu isyarat Jalan Lebuh Ayer Keroh berhadapan bangunan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini.

Menurutnya, suspek berusia 29 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan dengan bantuan orang awam selepas mangsa (pengadu) melawan dan berjaya merampas pistol daripadanya.

"Siasatan mendapati ketika kejadian mangsa berusia 24 tahun menunggang motosikal Yamaha NVX dari Ayer Keroh menghala ke bandar Melaka dan meneruskan perjalanan apabila lampu isyarat MBMB Jalan Lebuh Ayer Keroh bertukar warna hijau.

"Secara tiba-tiba muncul Perodua Myvi dari bandar Melaka membuat pusingan U, namun mangsa sempat brek dan mengelak terlanggar kereta itu sebelum memberi isyarat hon dan menjerit kepada pemandunya.

"Mangsa berhenti di tepi jalan di hadapan Melaka Mall selepas diarah oleh suspek sebelum pergi menemuinya.

"Suspek bertindak memarahi mangsa sebelum mengeluarkan pistol dari keretannya dan meluru keluar lalu mencekak leher dan mengacukan pistol di kepala pengadu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Christopher berkata, berlaku pergelutan yang mana pengadu dapat merampas senjata itu dan menahan suspek yang melarikan diri dengan kereta hasil bantuan orang awam di tempat kejadian.

"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai beberapa rekod dadah dan sedang menjalani PS di Balai Polis Bukit Baru bermula 1 November 2021 hingga 1 November depan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

"Pistol angin jenama Wingun Patent Super Sport 702 Cal. 6mm BB No. Siri 14f76026 berserta enam peluru jenama Wingun 700 serta satu bungkusan lut sinar mengandungi manik plastik warna hijau dan telefon bimbit dirampas daripada suspek.

"Suspek direman enam hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 5:28 PM