KEADAAN motosikal yang ditunggang mangsa. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN motosikal yang ditunggang mangsa. FOTO Ihsan Polis
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Seorang pelajar lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 36 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, Muhammad Syahrol Azwan Mohd Rofi, 21, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda FS150FJ yang ditunggangi mangsa dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang cuba memotong sebuah kereta namun gagal sebelum bertembung Perodua Axia dari arah bertentangan.

"Pada masa sama, motosikal mangsa turut bergesel dengan van yang menghala ke Gua Musang.

"Akibat pertembungan itu mangsa tercampak ke atas jalan dan disahkan maut di lokasi kejadian. Pemandu Produa Axia mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Klinik Kesihatan Chiku 3," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian bolehlah menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan & Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang di talian 099121222 atau Pegawai Penyiasat di talian 017-2830392," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 9:28 PM