JAEDAH (lima dari kanan) ketika menerima kunjungan Tan (tiga dari kanan) bersama keluarga. FOTO Rosman Shamsudin
JAEDAH (lima dari kanan) ketika menerima kunjungan Tan (tiga dari kanan) bersama keluarga. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


Hulu Bernam: Saling kunjung mengunjungi antara rumah majikan dan pekerja terutama pada hari perayaan menjadi resipi kekuatan persahabatan antara Jaedah Ahmad, 62, dan Tan Geok Hua, 64, sejak 10 tahun yang lalu.

Jaedah adalah pengusaha kedai jahitan pakaian manakala Tan adalah tukang jahit di kedai terbabit yang terletak di pekan Slim River, Perak.

Tan berkata, amalan kunjung mengunjungi rumah rakan dan kenalan tanpa mengira kaum dan agama pada hari perayaan menjadi aktiviti wajib yang dia lakukan sejak dahulu lagi.

Katanya, sebelum ini Jaedah dan rakan lain mengunjungi rumahnya sempena cuti Tahun Baharu Cina yang lalu.

"Pada sambutan Aidilfitri kali ini, saya bersama keluarga pula mengunjungi rumah Jaedah bagi memeriahkan lagi suasana sambutan terbabit.

"Kebetulan saya pula penggemar juadah lemang dan rendang, jadi sudah tentu saya akan mengambil kesempatan mengunjungi rumah Jaedah yang juga majikan di kedai jahitan yang menjadi tempat saya mencari rezeki," katanya ketika ditemui, dekat sini.

Kunjungan Tan dan keluarga adalah sempena rumah terbuka yang dianjurkan oleh Jaedah bersama suaminya, Idris Othman di Kampung Seri Keledang , Hulu Bernam, Selangor.

Sementara itu, Jaedah pula berkata, amalan inilah yang mengeratkan hubungan mereka berdua walaupun berbeza agama dan bangsa.

Katanya, dia menghargai kunjungan Tan dan keluarga selepas mereka bertungkus lumus menyiapkan tempahan baju raya daripada pelanggan baru-baru ini.

"Amalan ini juga yang mengeratkan hubungan antara saya dengan tan dan walaupun saya adalah majikan ketika berkerja namun bukanlah penghalang bagi kami mengeratkan hubungan.

"Sebelum ini, ketika Tahun Baharu Cina , saya mengunjungi rumahnya dan bila tiba Aidilfitri pula, dia dengan keluarga mengunjungi rumah saya," katanya.

Jaedah berkata, menjadi tanggungjawab rakyat negara ini mengekalkan kerukunan dan perpaduan yang terbina sejak zaman sebelum kemerdekaan tanpa mengira kaum dan agama .

Menurutnya, generasi muda perlu mencontohi dan mengambil iktibar amalan ini supaya negara ini terus menjadi contoh sebagai sebuah negara yang berbilang kaum hidup mampu menjalani kehidupan dengan aman dan damai.

HULU BERNAM 24 APRIL 2023.Pengusaha kedai jahitan, Jaedah Ahmad ( sembilan kiri) ketika menerima kunjungan Tan Geok Hua ( tiga kanan) bersama keluarganya sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kampung Seri Keledang,dekat sini.STR/ROSMAN SHAMSUDIN.

From: ROSMAN

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 12:28 PM