Bakri Sawir ketika meninjau Program Mantai Aidilfitri di Dewan D'Sury Kuala Klawang. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Bakri Sawir ketika meninjau Program Mantai Aidilfitri di Dewan D'Sury Kuala Klawang. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Jualan daging mantai secara dalam talian di negeri ini menyaksikan peningkatan sekali ganda berbanding ketika mula diperkenalkan tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Bakri Sawir berkata, tahun lalu pembelian dalam talian menerusi aplikasi Agrobazar Online menyaksikan hanya 160 kilogram daging lembu berjaya dijual.

Katanya, tahun ini orang ramai mula memberi perhatian kepada kaedah pembelian dalam talian apabila sebanyak 393 kilogram berjaya dijual.

"Dua daerah, Rembau dan Seremban merekodkan jualan tertinggi masing-masing 184 kilogram dan 169 kilogram.

"Jualan keseluruhan daging mantai secara dalam talian berjumlah RM14,617 dan sebanyak sembilan usahawan mengambil bahagian.

"Kita percaya pembelian menerusi cara ini turut memudahkan orang ramai membeli daging," katanya ketika ditemui meninjau Program Mantai Aidilfitri dan Jualan Ladang Negeri Sembilan Prihatin di Kuala Klawang, di sini, hari ini.

Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Klawang berkata, pembelian dalam talian dapat mengurangkan kesesakan di lokasi mantai secara fizikal sekali gus meminimumkan risiko jangkitan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 12:32 PM