PENGUATKUASA MPJL merampas bunga api dan mercun yang dijual secara terbuka selepas tiada lesen dikeluarkan. FOTO ihsan MPJL
PENGUATKUASA MPJL merampas bunga api dan mercun yang dijual secara terbuka selepas tiada lesen dikeluarkan. FOTO ihsan MPJL
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Tidak boleh menjual mercun dan bunga api di daerah ini secara terbuka atau berniaga `curi-curi'.

Itu amaran diberikan Majlis Perbandaran Jempol ( MPJL) yang bertindak melakukan rampasan bagi menghalang pihak yang cuba melakukan aktiviti itu.

Yang Dipertua MPJL Raja Norazli Raja Nordin berkata, terbaru pihak MPJL melakukan dua operasi dan rampasan terhadap peniaga mercun kelmarin.

Beliau berkata, MPJL menolak semua lesen bagi penjualan mercun dan bunga api di daerah ini hasil mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pelesenan, Premis Perniagaan dan Inspektorat bilangan 3/2023 yang bersidang pada 22 Mac lalu.

"Selaras dengan keputusan mesyuarat, sebarang lesen bagi penjualan bunga api dan mercun tidak lagi dikeluarkan.

"Tindakan tegas termasuk merampas mercun dan bunga api sudah dilaksanakan oleh MPJL apabila merampas bunga api dan mercun yang dijual di dua lokasi berbeza iaitu di Taman Tunku Puan Chik dan Jalan Dato' Besar, di sini.

"Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM5,000 dan pelbagai jenis bunga api dan mercun itu disita.

"MPJL turut memberi peringatan kepada semua peniaga dan warga maya tidak sewenang - wenangnya mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan atau pun fitnah terhadap tindakan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 1:44 PM