Mohd Roji Kawi

Kuching: Kerajaan membelanjakan lebih RM93 juta untuk menampung subsidi tol Rahmah percuma yang diberikan kepada pengguna lebuh raya sempena sambutan Aidilfitri.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jumlah itu agak besar namun ia berpadanan dengan hasrat kerajaan untuk membantu rakyat.

Menurutnya, tol percuma itu adalah antara duit raya yang tidak disedari, sama seperti subsidi minyak, gas memasak serta bil elektrik.

"Jumlah yang diberikan Jabatan Belanjawan Negara itu adalah anggaran awal implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan untuk menampung subsidi tol percuma di semua konsesi tol.

"Ini adalah sumbangan raya yang kerajaan beri kepada rakyat," katanya pada sidang media selepas menghadiri program lawatan dan Penyerahan Sumbangan 2023 di Akademi Percukaian Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di sini, hari ini.

Seramai 30 asnaf dari kawasan Petra Jaya menerima sumbangan bakul makanan bernilai RM100 dan duit raya sebanyak RM150 pada majlis itu.

Ahmad berkata, kerajaan memutuskan untuk memberikan tol percuma itu kerana menyedari beban yang ditanggung rakyat untuk membayar tol apabila bergerak di banyak tempat pada Aidilfitri ini.

"Dalam masa empat hari itu, pasti ramai yang hendak ke sana sini berjumpa keluarga dan sahabat handai untuk mengukuhkan persahabatan antara kaum dengan ziarah menziarahi.

"Jadi, anggaplah pemberian tol percuma itu sebagai duit raya sumbangan kerajaan," katanya.

AHMAD melawat Cawangan Utama Negeri BSN, Satok pada program Suai Mesra bersama pelanggan dan penerima di Kuching. FOTO Nadim Bokhari.
AHMAD melawat Cawangan Utama Negeri BSN, Satok pada program Suai Mesra bersama pelanggan dan penerima di Kuching. FOTO Nadim Bokhari.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan kerajaan untuk memberikan tol Rahmah percuma kepada pengguna 33 lebuh raya utama bermula hari ini hingga Jumaat dan pada 24 April ini.

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM8 bilion untuk keseluruhan empat fasa sumbangan tunai Rahmah.

"Sumbangan tunai Rahmah fasa dua bermula bulan April ini secara peringkat dan kita sudah semak semula jumlah keseluruhan untuk fasa dua ini bernilai RM1.26 bilion yang diagihkan kepada 8.7 juta penerima.

"Fasa satu dan dua sudah selesai dan seterusnya fasa tiga dan empat yang keseluruhan penerima berjumlah sembilan juta orang dengan nilai sumbangan berjumlah RM8 bilion," katanya.

Mengenai desakan berterusan supaya kerajaan meluluskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Ahmad, tidak menolak kemungkinan ia berlaku susulan campur tangan politik.

"Ya, mungkin ada (kaitan politik). Kalau kita (Kerajaan Perpaduan) mahu popular, boleh saja benarkan pengeluaran.

"Tetapi Kerajaan Perpaduan ini bukan hanya ingin membantu rakyat, sebaliknya sebagai kerajaan yang bertanggungjawab untuk menjaga hari tua rakyat. Caruman di dalam KWSP itu simpanan untuk masa tua, bukan untuk masa muda, "katanya sambil memaklumkan sejumlah RM145 bilion sudah dikeluar dalam empat pengeluaran sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 1:37 PM