TANGKAP layar video TikTok mengenai warga asing membuka perniagaan di depan Pasar Raya AJ Best. FOTO TikTok
TANGKAP layar video TikTok mengenai warga asing membuka perniagaan di depan Pasar Raya AJ Best. FOTO TikTok
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengenal pasti status terkini bilangan penjaja di ruang hadapan Pasar Raya AJ Best di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Chow Kit).

Menerusi kenyataan dikeluarkan, DBKL berkata, pihaknya juga akan melesenkan penjaja yang layak untuk ditempatkan di lokasi bersesuaian.

Kenyataan itu dikeluarkan DBKL bagi merujuk kepada video yang tular menerusi TikTok memaparkan Pengerusi Persatuan Hak Masyarakat Malaysia yang menggesa DBKL mengambil tindakan ke atas perniagaan warga asing tanpa lesen di lokasi terbabit.

Menurut DBKL, bangunan yang terletak di No 483, Jalan Tuanku Abdul Rahman bersebelahan Arked Bazar Sudirman itu dahulunya dikenali dengan Bazar Uda Ocean (UO) dan sudah diambilalih oleh syarikat AJ Best sejak April 2019.

"Terdapat seramai 13 penjaja yang menjalankan perniagaan di dalam bangunan pasar raya itu namun terpaksa keluar disebabkan kerja-kerja baik pulih yang hendak dilaksanakan oleh pemilik baharu bangunan itu (AJ Best).

"Penjaja ini terpaksa membuat penempatan sementara di hadapan premis terbabit (siar kaki luar bangunan) selepas menerima notis penutupan bagi membolehkan kerja baik pulih dilaksanakan.

"Mereka juga ditawarkan untuk memasuki semula bangunan selepas selesai kerja baik pulih. "Bagaimanapun, sehingga ini, penjaja terbabit enggan memasuki semula biarpun kerja baik pulih sudah siap sepenuhnya," katanya.

Selain itu, DBKL pada Ogos 2019 juga sudah menjalankan bancian terhadap penjaja dan merekodkan seramai 31 orang menjalankan aktiviti di kawasan itu.

Namun tiada sebarang kelulusan dikeluarkan dan tiada permohonan lesen dikemukakan kepada DBKL.

DBKL berkata, penjaja itu tidak terbabit dalam pemindahan ke bangunan baru Pasar Raja Bot yang masih dalam proses pembinaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 12:48 PM