BOMBA ketika mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan itu. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA ketika mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan itu. FOTO Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Kubu Bharu: Seorang penumpang bas persiaran maut selepas kenderaan itu terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 425.8 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke selatan, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, mangsa, Hamaizah Fadzilah, 54, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 4.32 pagi.

Katanya, sepasukan 15 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran membawa 40 penumpang menghala ke selatan dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah treler 20 tan dari arah sama.

"Terdapat seorang penumpang wanita yang duduk di kerusi paling hadapan tersepit di bahagian yang remuk," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, pihaknya segera melakukan operasi untuk mengeluarkan mangsa. Pemandu bas serta penumpang lain yang tidak cedera bertindak keluar dari kenderaan itu dan berkumpul di tempat selamat.

"Kedua-dua pemandu (bas dan lori) masing-masing berusia 54 dan 70 tahun dan penumpang bas tidak tersepit serta tidak cedera.

"Pada 5.13 pagi, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 7:51 AM