GAMBAR fail polis membuat siasatan lokasi kejadian di kawasan Medan Selera Cina di pekan Lukut.  FOTO Arkib nSTP
GAMBAR fail polis membuat siasatan lokasi kejadian di kawasan Medan Selera Cina di pekan Lukut. FOTO Arkib nSTP
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Polis berjaya menyelesaikan kes bunuh membabitkan seorang lelaki kurang siuman di pekan Lukut di sini, susulan penahanan suspek pembunuhan itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek lelaki berusia 38 tahun itu di Pengkalan Chepa, Kelantan.

"Hasil maklumat risikan polis, suspek berjaya ditahan lebih kurang 1.15 tengah hari dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson dengan khidmat dari Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia.

"Suspek sudah direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 19 April depan untuk siasatan lanjut dan dengan tertangkapnya suspek utama ini, polis percaya berjaya selesaikan kes itu," katanya dalam kenyataan kepada media tadi.

Menurutnya, kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk arahan selanjutnya.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan dalam kejadian 7.45 malam pada 1 Mac lalu, mangsa yang kurang siuman ditikam dengan menggunakan objek tajam di hadapan Medan Selera Cina pekan Lukut, Port Dickson.

Hasil bedah siasat yang telah dilakukan mengesahkan kematian mangsa disebabkan oleh luka tikaman di leher dan kes telah diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 6:39 PM