SAARANI Mohamad. FOTO Arkib NSTP.
SAARANI Mohamad. FOTO Arkib NSTP.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Perak menyasarkan untuk menjadi pengeluar utama sayuran dan buah-buahan dalam tempoh lima tahun lagi, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, antara komoditi sayur utama yang disasarkan adalah bayam, bendi dan sawi manakala bagi komoditi buah-buahan utama ialah jambu batu, jagung dan mangga.

Saarani berkata, pengeluar buah-buahan terbesar di Perak ada meliputi daerah Larut, Matang dan Selama dengan 3,853 hektar bertanam membabitkan jumlah pengeluaran sebanyak 30,260 metrik tan sepanjang tahun lalu.

Katanya, bagi pengeluar sayur-sayuran terbesar di Perak pula adalah di daerah Kinta Perak dengan 3,881 hektar keluasan bertanam dan pengeluaran sejumlah 69,373 metrik tan sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, susulan itu Perak tidak mengalami sebarang ketidakcukupan tanaman makanan utama khususnya sayuran dan buah-buahan sepanjang bulan Ramadan ini.

"Sebaliknya pengeluaran tanaman berupa tembikai, cili, dan sayur berdaun yang menjadi tumpuan ketika bulan Ramadan meningkat sehingga suku tahun pertama tahun ini.

"Melihat kepada trend semasa pengeluaran tanaman makan utama sayuran dan buah-buahan, bekalan di negeri Perak mencukupi untuk menampung keperluan rakyat semasa bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi," katanya pada Program Riang Ria Raya Promosi dan Jualan Produk Industri Asas Tani (IAT) Jabatan Pertanian Negeri Perak tahun 2023 di Padang Bangunan Seri Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Mengenai kenaikan harga sayur ketika ini, Saarani berkata ianya disebabkan oleh kebanyakan sayuran dan buah di Perak, dihantar ke negeri lain seperti Johor yang terkesan akibat bencana banjir.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata status trend pengeluaran tanaman makanan utama negeri menunjukkan peningkatan untuk komoditi sayur-sayuran iaitu 7,354 hektar keluasan bertanam dengan jumlah pengeluaran sebanyak 134,877 metrik tan pada tahun 2022.

Katanya, angka itu lebih tinggi berbanding tahun 2021 iaitu sebanyak 7,190 hektar keluasan bertanam dan jumlah pengeluaran sebanyak 125,308 metrik tan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 4:44 PM