ANGGOTA bomba memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Jalan Blok AC, Kampung Sungai Serdang, sejak 9 April lalu. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Jalan Blok AC, Kampung Sungai Serdang, sejak 9 April lalu. FOTO ihsan bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Gara-gara tindakan pihak tidak bertanggungjawab, anggota bomba terpaksa bertungkus-lumus sejak lima hari lalu untuk memadamkan kebakaran di Jalan Blok AC, Kampung Sungai Serdang, di sini, semalam.

Kebakaran itu membabitkan kawasan seluas 0.81 hektar yang dijadikan tapak pelupusan sampah haram.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, kebakaran itu mula berlaku 9 April lalu apabila bomba menerima panggilan pada 2.05 petang.

Beliau berkata, sepasukan 22 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dan Kapar dikerahkan menjalankan operasi pemadaman.

"Lokasi kebakaran ini mempunyai 13 titik panas. Satu daripadanya berjaya dipadamkan oleh anggota bertugas.

"Bagaimanapun, operasi ditangguhkan pada 7 malam tadi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Morni berkata, operasi pemadaman disambung semula 9 pagi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 11:59 AM