Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: "Arwah sebelum ini jarang keluar rumah cuma semalam dia beritahu nak keluar teman kawannya beli burger.

"Biasanya dia hanya tunggang motosikal dalam kawasan kampung saja tapi tak sangka benda nak jadi, pakcik reda," kata Zaidi Mat Isa, 52.

Menurut Zaidi, dia terkejut sebaik menerima panggilan memaklumkan anaknya, Muhammad Firdaus, 19, terbabit dalam kemalangan di hadapan sebuah stesen minyak di Tanjung Musang, malam tadi.

Katanya, dia dan isterinya, Rosnani Abdul Wahab, 50, kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati anak mereka sudah tiada.

"Keadaan ketika itu berselerak akibat kemalangan dan anak saya jatuh di bahagian tepi jalan.

"Saya tak kenal kawan-kawan arwah yang meninggal, cuma tahu dia keluar dengan kawan," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Zaidi berkata, banyak perubahan yang nampak pada diri arwah anaknya dan paling ketara dia peluk dan salam ibunya apabila hendak keluar rumah.

Katanya, arwah juga banyak mendiamkan diri sejak beberapa hari lalu.

ZAIDI reda dengan pemergian anaknya dalam kemalangan semalam, FOTO Zuliaty Zulkiffli.
ZAIDI reda dengan pemergian anaknya dalam kemalangan semalam, FOTO Zuliaty Zulkiffli.

"Sementara nak tunggu dia dapat kerja tetap, saya ajar dia bawa jentera pengorek dan semalam dia nampak letih kerana seharian memandu.

"Arwah anak keempat dari enam beradik dan memang jarang keluar rumah terutama pada waktu malam," katanya.

Zaidi berkata, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Jamat, selepas selesai urusan di Jabatan Forensik HSB.

Katanya, mereka sekeluarga reda dengan apa yang berlaku walaupun ujian berat baginya kehilangan anak di bulan Ramadan ini.

"Nak sambut Raya pun hambar kerana anak sudah tiada sebab ibu dia sudah belikan baju raya untuknya tetapi dia belum sempat pakai lagi," katanya.

Sementara itu, isterinya, Rosnani berkata, setiap hari dia belikan menu kesukaan anak mereka iaitu ayam golek serta ikan keli bakar kerana arwah sangat sukakan makanan itu ketika berbuka puasa.

Katanya, semalam itulah menu lauk terakhir yang dibelinya untuk arwah sebelum berbuka puasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 12:06 PM