Pemilik gerai teh bunga madu, Zaidi Zainol Abidin, 56, membungkus air teh bunga berkenaan untuk dijual di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Pemilik gerai teh bunga madu, Zaidi Zainol Abidin, 56, membungkus air teh bunga berkenaan untuk dijual di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Setiap tahun, gerai menjual air teh bunga di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman di sini, menjadi tumpuan pengunjung kerana gerai itu sering dihurung lebah.

Ditambah pula dengan cuaca panas di negeri ini ketika ini menyebabkan minuman ini menjadi pilihan orang ramai untuk berbuka puasa.

Pemilik gerai itu, Zaidi Zainol Abidin, 56, berkata, tahun ini jualan air teh bunganya juga meningkat berbanding sebelum ini disebabkan cuaca panas yang melanda ketika ini.

Menurutnya, walaupun harganya dinaikkan daripada RM2 kepada RM3 sebungkus namun orang ramai tetap membelinya kerana rasa air teh ini lain daripada yang lain.

"Saya menjual air teh bunga ini sekali dalam setahun iaitu ketika Ramadan saja dan sudah mempunyai pelanggan tetap.

"Tahun ini, saya terpaksa naikkan harga disebabkan barang mentah ada yang naik harga seperti gula dan saya terpaksa naikkan RM1 tetapi kuantiti bungkusan saya bagi lebih walaupun naik harga tapi kuantiti lebih daripada tahun lalu.

"Antara keistimewaan air teh bunga yang dihasilkan ini adalah lebihan madu yang digunakan selain ramuan lain ciptaan sendiri sehingga menarik minat pengunjung yang datang," katanya ketika ditemui di sini.

Zaidi berkata, kemanisan asli teh bunga yang dihasilkannya itu mengundang kehadiran lebah sehingga ada yang masuk ke dalam balang air tetapi tidak menjadi masalah kerana tidak membahayakan kesihatan.

Katanya, setiap hari dia mampu menyediakan sekurang-kurangnya 20 hingga 25 tong air teh bunga untuk dijual di bazar berkenaan.

"Adakalanya pada 3 petang pelanggan sudah mula datang untuk membeli kerana ketika itu tidak sibuk.

"Saya sudah meniaga di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman ini sejak 10 tahun lalu dan syukur sambutan yang diterima masih menggalakkan," katanya.

Zaidi berkata, dia yang mempunyai empat pekerja, masing-masing mempunyai tugas mereka sejak membuka gerai air teh bunga di situ.

Katanya, dia bersyukur kerana pelanggan yang datang membeli berpuas hati dan akan datang semula keesokan harinya membeli lebih daripada sebungkus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 11:06 AM