HASBI Habibollah ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perlesenan Kenderaan Perdagangan 2023 pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
HASBI Habibollah ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perlesenan Kenderaan Perdagangan 2023 pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pendapatan penunggang perkhidmatan penghantaran barangan atau makanan menggunakan motosikal (p-hailing) akan dikawal selia oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam mengatasi isu manipulasi atau penindasan pendapatan pekerja oleh syarikat penyedia perkhidmatan berkenaan.

Ia selaras dengan Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 yang diluluskan dengan lebih suara bersetuju hari ini, selepas dibahaskan seramai sembilan senator di Dewan Negara semalam.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata berdasarkan pindaan ini, pindaan ke atas Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 iaitu Akta 715 bertujuan memperuntukkan keputusan kerajaan membabitkan pengawal seliaan perkhidmatan kenderaan barangan termasuk penggunaan motosikal yang disediakan menerusi perniagaan pengantaraan perkhidmatan p-hailing.

"Isu mengenai manipulasi pendapatan pekerja p-hailing ini memang kita ambil maklum dan ini juga menjadi perkara asas mengapa kerajaan ambil keputusan untuk kawal selia industri ini," katanya dalam ucapan penggulungan kementerian itu di persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Hasbi berkata Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 mengandungi enam fasal.

Sementara itu, persidangan Dewan Negara hari ini turut meluluskan Rang Undang-undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023 yang bertujuan meminda Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.

Rang undang-undang berkenaan antara lain memperuntukkan kenderaan p-hailing sebagai kenderaan barangan yang tertakluk kepada lesen perniagaan pengantaraan.

Hasbi ketika menggulung rang undang-undang itu berkata kementerian bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah merangka satu draf kurikulum atau silibus pembelajaran bagi penunggang p-hailing mendapatkan lesen vokasional.

"Antara skop utama yang akan dimasukkan ialah memahami perbezaan risiko sebagai penghantar berbanding pengguna biasa.

"... dan keperluan untuk lebih berhati-hati di jalan raya, memahami dan meramal bahaya di jalan raya sebagai seorang penghantar (dan) mengingati konsep asas penunggangan selamat atau ikhtisar-ikhtisar modul asas Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ)," katanya.

Menurut Hasbi kursus tersebut boleh ditawarkan oleh institut memandu dan syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing namun akan dipantau dan dikawal selia sepenuhnya oleh pihak JPJ dan kadar fi bagi mendapatkan lesen berkenaan hanya akan diputuskan selepas punca kuasa perundangan itu ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 2:54 PM