KUMBANG dari luar negara yang mengancam tumbuhan palma negara seperti kelapa sawit dan kelapa.
KUMBANG dari luar negara yang mengancam tumbuhan palma negara seperti kelapa sawit dan kelapa.
SEBAHAGIAN daripada benih tumbuhan dan buah-buahan yang sering diseludup masuk ke Malaysia.
SEBAHAGIAN daripada benih tumbuhan dan buah-buahan yang sering diseludup masuk ke Malaysia.
Muhammad Apendy Issahak


Cryptorrjynchus mangiferae, bactrocera dorsalis, trogoderma dan microcyclus ulei adalah antara nama sebahagian ‘musuh’ utama negara yang dipantau ketat daripada lolos memasuki sempadan negara.

Nama terbabit adalah sebahagian daripada serangga perosak dan kulat dari luar negara yang sering menjadi masalah utama kepada tanaman serta buah-buahan tempatan.

Impaknya jika tidak dibendung mampu menggugat sektor makanan, sekali gus mengancam ekonomi dan keselamatan negara.

Ia nama saintifik bagi kumbang pengorek buah mangga (cryptorrjynchus mangiferae), lalat buah (bactrocera dorsalis), kumbang khapra (trogoderma) dan kulat daun (microcyclus ulei).

Selain beberapa lagi serangga perosak yang dikawal daripada memasuki negara melalui buah-buahan, tumbuhan serta bahan makanan lain termasuk haiwan yang diimport.

Namun antara yang paling bahaya kemasukan hasil pertanian dan ternakan luar secara haram ke negara ini adalah penyakit bawaan haiwan termasuk selesema burung, penyakit anjing gila, penyakit kuku dan mulut serta penyakit lembu gila yang boleh mengancam manusia.

Kemasukan pelbagai spesies ikan juga mengundang bahaya kerana boleh membawa penyakit ikan antaranya penyakit koi harpes virus (KHV), epizootic ulcerative syndro (EUS), virus sindrom tompokan putih (WSSV) dan ‘spring viremia of crap’ selain menjadi pemangsa kepada ikan tempatan.

Susulan kehadiran makhluk perosak asing yang boleh menjejaskan pertanian, perikanan negara dan penyakit berjangkit itu Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) ditubuhkan pada Mac 2013 bagi ‘memerangi’ ancaman negara ini.

MAQIS ditubuhkan bagi memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih, mikroorganisma dan makanan yang diimport dan dieksport sentiasa selamat, bebas perosak, penyakit, bahan cemar serta berkualiti untuk dimakan.

Penguatkuasa MAQIS Perak, Mohammad Sufian Mohamed Ali berkata, di Perak sahaja terdapat empat pintu sempadan negara yang dikawal iaitu di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh, Pelabuhan Lumut, Pelabuhan Hutan Melintang dan Pengkalan Hulu.

Menurutnya, antara yang sering dikesan adalah kemasukan atau penyeludupan buah-buahan terutama mangga dari negara jiran yang dikawal ketat dan dilarang jika tidak mempunyai permit.

“MAQIS ditubuhkan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bertujuan untuk memastikan industri pertanian negara bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar terhadap tumbuhan, binatang dan ikan melalui aktiviti kuarantin, pemeriksaan serta penguatkuasaan yang lebih berkesan.

“Ramai tidak tahu bahawa kebanyakan barang makanan, tumbuhan, buahan dan haiwan bukan sewenang-wenangnya boleh dibawa masuk ke negara tanpa permit sah.

“Penyeludupannya dikhuatiri menyebabkan kemasukan serangga perosak dan penyakit yang berisiko menyerang serta merosakkan tanaman atau haiwan, malah terhadap manusia,” katanya di Mini Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) dan Agrofest Perak 2017 sempena Sambutan Hari Terbuka Armada di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak, baru-baru ini.

Katanya, ramai pelancong yang ke negara jiran sering membawa pulang barangan terlarang ke tanah air yang tanpa pengetahuan mereka boleh menjejaskan keselamatan negara dan pihak MAQIS terpaksa mengambil tindakan tegas merampas barangan itu.

“Bagi pihak yang mengimport tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih, mikroorganisma dan makanan tanpa permit, boleh dihukum mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

“Permit boleh dimohon melalui atas talian di laman web http://epermit.dagangnet.com atau http://newepermit.dagangnet.com,” katanya.

Mohammad Sufian berkata, barangan yang perlu permit import dan sijil kesihatan serta sijil fitosanitasi antaranya durian, cili padi, mangga, limau, serai, ikan, udang, sotong, unggas, telur, sosej, lembu dan ayam.

“Kerajaan tidak berkompromi dalam kawalan sempadan bagi mengekang kemasukan hasil pertanian dan ternakan secara haram ke negara ini supaya kemasukan perosak asing dapat dibendung dalam menjamin industri asas tani negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 1:37 PM