SEBAHAGIAN pengemis di Bazar Ramadan Saujana Utama ketika tinjauan, hampir kesemua mereka merupakan warga asing. FOTO GENES GULITAH
SEBAHAGIAN pengemis di Bazar Ramadan Saujana Utama ketika tinjauan, hampir kesemua mereka merupakan warga asing. FOTO GENES GULITAH
Oleh Raja Noraina Raja RahimHafidzul Hilmi Mohd NoorNurul Hidayah Bahaudin dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid dan Mary Victoria Dass

Jual simpati di bazar

Kuala Lumpur: "Saya bukan apa (meminta sedekah), saya sudah tiada pilihan mahu cari makan," ujar seorang pengemis wanita yang meminta sedekah di bazar Ramadan di Sungai Buloh, Selangor.

Wanita itu dilihat duduk di atas jalan sambil memegang bekas plastik. Beberapa pengunjung bazar yang melintasinya akan memasukkan wang ke dalam bekas plastik berkenaan.

Ketika ditemui, wanita warga Kemboja itu mendakwa sudah hampir 40 tahun menetap di negara ini dan mempunyai empat anak dengan tiga daripadanya sudah berkahwin.

Dia mendakwa terpaksa mengemis demi menyara hidupnya selain membesarkan seorang anak lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU).

"Saya susah, anak saya satu kaki tak ada, tak boleh kerja. Kalau adik mahu sedekah berapa saja tak apa.

"Saya dapat (wang) tak banyak…. Boleh makan," katanya yang tidak mahu mendedahkan jumlah wang derma diterima setiap hari di bazar Ramadan.

Tinjauan Harian Metro di bazar Ramadan di sekitar Sungai Buloh, mendapati sekurang-kurangnya 10 pengemis dipercayai warga asing berkeliaran di bazar berkenaan bagi meraih simpati orang ramai.

Tinjauan dari jam 4 petang hingga 6 petang di tiga bazar Ramadan mendapati wujudnya aktiviti meminta sedekah daripada orang ramai dengan menggunakan pelbagai taktik antaranya membawa anak kecil.

Lebih mengejutkan, terdapat juga kanak-kanak perempuan disyaki etnik Rohingya membawa beberapa naskah surah Yasin untuk dijual kepada orang ramai pada harga RM10.

Difahamkan, aktiviti mengemis itu menarik perhatian warga asing disebabkan kawasan bazar Ramadan menjadi tumpuan orang ramai dan mereka dipercayai mengambil kesempatan atas amalan bersedekah di bulan mulia.

Seorang lagi pengemis wanita yang ditemui mendakwa dia adalah penduduk tempatan, tetapi melalui pertuturannya jelas seakan menggunakan bahasa dari Indonesia.

"Saya orang sini, saya sudah tua tak berdaya lagi (untuk bekerja)," kata wanita itu yang dianggarkan berusia 60-an.

Sementara itu, seorang peniaga di bazar Ramadan Saujana Utama yang mahu dikenali Azman, 25, berkata, kegiatan meminta sedekah semakin menjadi-jadi di kawasan itu terutama selepas seminggu berpuasa.

Menurutnya, kegiatan terbabit kemungkinan didalangi sindiket tertentu kerana melalui pemerhatiannya mendapati pengemis dihantar oleh individu lain ke kawasan itu sebelum datang semula mengambilnya selepas beberapa jam.

"Saya nampak ada seorang lelaki memakai topi keledar, berkaca mata dan memakai pelitup muka akan muncul dan menghantar seorang pengemis wanita seawal jam 4 petang.

Lelaki itu akan datang semula mengambil pengemis terbabit kira-kira jam 7 malam.

"Selain itu, saya juga pernah ternampak van putih muncul hantar peminta sedekah ke sini. Ada antara mereka akan bawa keropok dan buku untuk minta sumbangan," katanya.

Azman mendakwa kebanyakan pengemis di kawasan bazar itu tidak duduk lama dan hanya mengambil masa antara sejam hingga dua jam sebelum berpindah ke kawasan lain.

"Ada bermacam cara mereka gunakan, ada yang menjual tisu dan ada yang duduk di satu tempat sambil menadah bekas meraih simpati orang ramai memberikan sedekah kepada mereka," katanya.

Dia berharap operasi membanteras peminta sedekah warga asing diperhebatkan pihak berkuasa bagi mengelak mereka mengambil kesempatan di atas kemurahan hati umat Islam ketika Ramadan dan mengekang aktiviti itu daripada berleluasa.

Tiada kerja, rumah antara punca dorong jadi pengemis

Tiada pekerjaan, tiada tempat tinggal, masalah kesihatan seperti pesakit mental dan terbabit dengan penyalahgunaan dadah adalah antara faktor utama dikenal pasti menjadi penyumbang kepada kegiatan pengemis warga tempatan dan asing.

Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya sedia maklum lambakan pengemis warga asing memandangkan seramai 1,937 kes gelandangan warga asing diambil tindakan oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak 2018 hingga 2022.

"Merujuk kepada Subseksyen 3(1) Akta Orang Papa 1977 menyatakan, kuasa pegawai JKM boleh mengambil gelandangan di bawah jagaannya dalam tempoh 24 jam sebelum membawa gelandangan itu ke mahkamah.

"Dalam tempoh itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat akan membuat saringan dan mengenal pasti jika gelandangan yang diambil adalah bukan warganegara Malaysia. Kes kemudian diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, perkara itu terkandung dalam Subseksyen 3(1) Akta Orang-Orang Papa 1977.

Sementara itu Timbalan Menteri KPWKM, Aiman Athirah Sabu berkata, tindakan membenteras pengemis diambil itu adalah secara 'ad hoc' (mengejut), berjadual atau bersama agensi lain.

Beliau mengulas kebanjiran pengemis warga asing yang berada di setiap bazar Ramadan, masjid dan beberapa lokasi di seluruh negara ketika ini.

"Tindakan membenteras pengemis warga asing memerlukan tindakan lain-lain agensi kerajaan dan bukan JKM semata-mata. Ini memandangkan pegawai JKM mempunyai kuasa yang sangat terhad berdasarkan Akta Orang-Orang Papa 1977 (Akta 183)," katanya.

Katanya, JKM amat mengharapkan semua agensi penguatkuasaan memainkan peranan dan tindakan berdasarkan kategori orang papa yang diambil mengikut undang-undang dan peraturan dikuatkuasakan.

"Ini kerana bukan semua orang papa itu sesuai dijaga dan dipulihkan di rumah kebajikan," katanya.

Beliau dalam masa sama turut menasihatkan orang ramai tidak memberi wang kepada orang papa yang mengemis di tempat awam sebaliknya menyalurkan derma kepada badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar dengan agensi kerajaan.

Selain itu katanya, orang ramai juga boleh membuat aduan kepada JKM berhampiran, menghubungi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019261599.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 12:00 PM