Khairulmizan Yahya


Kuantan: Lelaki yang memukul imam jemputan di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 akan dihantar ke Hospital Permai, Johor bagi mendapatkan pemantauan dan laporan mengenai keadaan mentalnya.

Keputusan itu dibuat Mahkamah Majistret Kuantan terhadap Ahmad Paijan Abd Rashid, 35, selepas pertuduhan dilakukan, hari ini.

Ketika prosiding, Ahmad Paijan hanya menjawab "saya terdengar suara" selepas disoal adakah dia faham pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya Ezuain Farhana Ahmad dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen membuat permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah agar tertuduh dihantar ke Hospital Permai bagi menjalankan pemeriksaan.

Ezuain Farhana juga meminta tertuduh tidak diberikan sebarang jaminan sehingga mendapat laporan psikiatri dari hospital berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan, pada 26 Mac lalu pada jam sekitar 6.30 pagi di ruang solat utama Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1, tertuduh dengan sengaja menyebabkan gangguan kepada sembahyang subuh yang sedang dijalankan dengan sah di sisi undang-undang.

LELAKI yang memukul imam Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 dibawa untuk dituduh di Mahkamah Majistret Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya
LELAKI yang memukul imam Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 dibawa untuk dituduh di Mahkamah Majistret Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya

Oleh yang demikian tertuduh melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 296 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

Media sebelum ini melaporkan, lelaki dipercayai kurang siuman itu telah menyerang seorang imam ketika solat subuh di Masjid Negeri Sultan Ahmad Satu, di sini, 26 Mac lalu.

Mangsa adalah pelajar Maahad Tahfiz Thurath, Ilhan Muhammad Irham yang menjadi imam jemputan untuk solat subuh sempena Program Khatam Subuh 2.0 di masjid berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 12:31 PM