Khairulmizan Yahya

Kuantan: Peruntukan RM4.7 bilion yang disalurkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam Belanjawan 2023 akan digunakan untuk perbelanjaan pembangunan agensi di bawah kementerian itu.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi berkata, kementerian itu mendapat peningkatan yang signifikan pada belanjawan kali ini iaitu sebanyak RM18.5 bilion berbanding RM17.09 bilion pada tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, RM4.7 billion akan dibelanjakan untuk pembangunan infrastruktur dan juga perolehan aset-aset baharu.

"Tapi perinciannya (pengagihan peruntukan) belum diperolehi daripada Kementerian Ekonomi. Saya akan pastikan pada hujung Februari atau Mac, kelulusan bajet yang sudah dibincangkan dan dibahaskan akan diproses untuk perolehan.

"Pihak kementerian bersama barisan kepimpinan di bawah KDN akan memastikan peruntukan yang diberikan ini dapat dibelanjakan sepenuhnya pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Leftenan Muda Maritim Siri 11 2022 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), di sini, hari ini.

RUJI Ubi (dua kiri) bersama Ketua Pengarah APMM, Datuk Mohd Zubil ketika majlis penyanpaian anugerah pelatih cemerlang pada Majlis Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Leftenan Muda Maritim Siri 11 2022 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya
RUJI Ubi (dua kiri) bersama Ketua Pengarah APMM, Datuk Mohd Zubil ketika majlis penyanpaian anugerah pelatih cemerlang pada Majlis Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Leftenan Muda Maritim Siri 11 2022 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya

Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Mohd Zubil Mat Som dan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Sementara itu, Ruji berkata, buat masa ini peratusan pengisian perjawatan dalam APMM adalah sebanyak 90.76 peratus daripada 5,303 perjawatan yang diluluskan.

"Dijangka 490 perjawatan akan diisi sepenuhnya menjelang 2026 dan APMM juga memerlukan tambahan 4,000 perjawatan untuk membolehkan agensi beroperasi pada tahap maksima berdasarkan Pelan Pembangunan Strategik Maritim Malaysia 2024.

"Seiring dengan itu, jumlah perolehan aset baharu seperti kapal, bot dan pesawat udara juga akan turut meningkat secara berperingkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 2:32 PM