Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Angin kencang yang berlaku secara tiba-tiba lebih 15 minit menerbangkan atap zink, bumbung sebuah gerai buah-buahan di Jalan Kubang Lembu hingga berselerak jatuh di atas jalan raya.

"Mujur ketika kejadian tidak banyak kenderaan dan tiada pelanggan yang membeli buah disebabkan cuaca gelap sebelum hujan lebat," kata Khairul Anwar Ahmad, 45.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 3 petang tadi turut menyebabkan anak keduanya, Nur Alia Najwa, 14, yang membantunya di gerai itu mengalami cedera di belakang kepala akibat terkena besi dan dihantar ke sebuah pusat perubatan untuk mendapatkan rawatan.

Selain itu, kejadian itu turut menyebabkan seorang daripada beberapa pekerja gerai buah terbabit mengalami kecederaan di jari.

Khairul Anwar berkata, kejadian berlaku terlalu pantas hingga menyebabkan angin kencang menerbangkan gerai buah serta zink gerai dalam beberapa minit saja.

Katanya, ini dugaan buatnya untuk berniaga pada hari pertama Ramadan.

"Saya tak tahu nak cakap jumlah kerugian mungkin lebih RM30,000 sebab atap zink serta gerai rosak teruk cuma buah-buahan saja yang masih baik," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Kejadian itu menyebabkan kesesakan berlaku lebih sejam dan orang ramai serta pekerja gerai buah itu membantu membersihkan kedua hala jalan raya di situ.

Tinjauan di lokasi mendapati, anggota polis turut berada di lokasi untuk mengawal keadaan dan dua hala laluan ke Pekan Jitra ditutup dengan sawar-sawar bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan.

Selain itu, beberapa premis di kawasan kejadian terputus bekalan elektrik akibat tiang elektrik tumbang.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Hamizi Wan Mohd Zin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pokok tumbang di Pekan Jitra 1 pada jam 3.30 petang.

Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah mengarahkan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra ke lokasi untuk melakukan operasi penyelamatan.

"Komander Operasi melaporkan keadaan Pekan Jitra dilanda hujan dan ribut.

"Tindakan operasi dilakukan adalah dengan memotong pokok berkenaan menggunakan gergaji berantai untuk membersihkan laluan jalan.

"Operasi terkawal pada jam 3.42 petang," katanya.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian ribut di kawasan kejadian dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu ke lokasi kejadian untuk mengawal keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 12:30 AM
Orang ramai membantu mengangkat zink serta rangka besi gerai yang berselerak di atas jalan di dua laluan menghala ke Pekan Jitra dan Pekan Kepala Batas akibat angin kencang serta ribut. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Orang ramai membantu mengangkat zink serta rangka besi gerai yang berselerak di atas jalan di dua laluan menghala ke Pekan Jitra dan Pekan Kepala Batas akibat angin kencang serta ribut. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI