GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyediakan imam untuk solat terawih bagi 10 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi di Batu Pahat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata langkah JAINJ itu dibuat bagi membantu mangsa banjir terjejas menyambut kedatangan Ramadan, esok.

Katanya, ia juga bagi membolehkan mangsa banjir di PPS berkenaan menunaikan ibadah berkenaan walaupun masih ditempatkan di pusat berkenaan.

"PPS yang masih beroperasi, kita akan buka dan selaraskan tempat untuk umat Islam menunaikan solat terawih. Imam adalah dalam kalangan imam daripada masjid berhampiran.

"Daripada 20 PPS yang masih kekal beroperasi ketika ini, sebanyak 10 daripadanya akan diadakan solat terawih di lokasi, manakala mangsa di 10 PPS lain boleh menunaikan solat terawih di surau dan masjid berhampiran,.

"Antara PPS yang disediakan imam untuk solat terawih termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Sejagong, SK Seri Manggis, SK Seri Tanjong, Sekolah Agama (SA) Sri Medan, SA Parit Sulong, SA Seri Chomel dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Hua Min," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Sidang Dun Johor, di sini, hari ini.

Seramai 2,540 mangsa masih ditempatkan di 20 buah PPS di Batu Pahat, setakat tengah hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Fared (BN-Semerah) berkata, berhubung isu tauliah agama pula, beberapa permohonan berceramah di negeri ini termasuklah membabitkan penceramah popular, telah ditolak.

"Tidak dinafikan ada penceramah popular yang terpaksa ditolak daripada berceramah di negeri ini. Tidak perlulah dinyatakan sebab dan alasan kenapa mereka ini tidak diberikan kebenaran.

"Pastinya setiap permohonan telah ditimbang sehabis baik dan sebijaksana mungkin oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk diberikan keputusan.

"Percayalah, adalah mustahil MAINJ menolak sesuatu yang bermanfaat melainkan pertimbangannya adalah untuk menjaga kemaslahatan umat Islam yang ada," kata beliau.

Mohd Fared berkata, tempoh permohonan baru pentauliahan agama adalah lebih kurang tiga bulan.

Katanya, ia tertakluk pada tapisan yang dilaksanakan MAINJ manakala mereka yang memiliki tauliah dan mahu membuat penyambungan, perlu memohon ke Pejabat Kadi Daerah antara tiga hingga enam bulan sebelum tamat tempoh.

Khamis lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar bertitah bahawa semua ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau boleh dipecat sekiranya membenarkan penceramah tanpa tauliah MAINJ memberi kuliah agama di negeri ini.

Baginda dilaporkan bertitah, semua AJK masjid dan surau yang hendak menganjurkan ceramah agama wajib mendapatkan kebenaran dengan memperincikan tajuk ceramah serta perkara yang ingin disampaikan menerusi Pejabat Kadi Daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 4:10 PM